PUTRAJAYA – Tiada lagi pergerakan rentas negeri yang
dibenarkan selepas ini, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas
Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, susulan masih ada yang beratur
panjang di balai polis untuk mendapatkan kebenaran balik kampung seperti yang
berlaku di Kuantan, semalam.
“Walaupun setiap hari diberi nasihat, peringatan, semalam
laporan PDRM sewaktu mesyuarat pagi tadi di Kuantan seramai 1,300 orang beratur
di balai polis daerah Kuantan mohon kebenaran pulang kampung.
“Oleh itu saya ingin tegaskan mesyuarat putuskan bahawa
pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan. Jadi tak perlu beratur panjang
kerana polis tidak akan benarkan, kita tidak akan membuka lagi ruang untuk
rentas negeri ini, ‘no more’ rentas negeri,” katanya pada sidang media harian
di sini hari ini.
Ismail Sabri bagaimanapun berkata pergerakan rentas daerah
masih dibenarkan tanpa had waktu dan orang awam bebas untuk bergerak dalam
negeri yang sama.
“Tetapi kalau nak bergerak rentas daerah semasa hari raya,
kita kena menilai sendiri bahaya kepada orang di sekeliling. Kalau dah melebihi
20 orang berkumpul di rumah yang nak dituju, lebih baik sambut raya di rumah
sendiri sahaja.
“Ini cara (untuk) pastikan tidak akan berlaku kluster balik
kampung,” katanya.
Semalam, sebanyak 2,412 kenderaan yang cuba merentas negeri
atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis.
Sementara itu, mengulas mengenai isu tular di media sosial
berkenaan seorang pemilik akaun Facebook Mohd Sayuti Omar yang menyatakan
bahawa dia berjaya merentas negeri pulang ke kampung untuk beraya dan mendakwa
tiada sekatan jalan raya sepanjang perjalanan, Ismail Sabri berkata beliau percaya
polis akan mengambil tindakan ke atas individu tersebut.
“Saya rasa Mohd Sayuti ini pun mungkinlah polis akan cari…
mungkin ada juga jalan tertentu dan lorong-lorong tikus yang menyebabkan mereka
lepas untuk balik.
“Kalau perkara seperti ini, lepas balik kampung tidak
bermakna terlepas daripada undang-undang apabila nak balik ke Kuala Lumpur atau
ke tempat kerja. Jadi yang terlepas ini saya percaya polis akan cari juga,”
tambahnya.
Dalam sidang media yang sama beliau juga berkata rumah
ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi hanya di zon hijau mulai 10 Jun.
Bagaimanapun katanya, mereka perlu mematuhi prosedur operasi
standard (SOP) yang ditetapkan termasuk bilangan yang hadir tidak melebihi 30
orang dan tertakluk kepada saiz dan keluasan rumah ibadat berkenaan.
“Kalau rumah ibadat kecil dan tidak boleh memuatkan 30
orang, maka jumlah yang berada di dalamnya perlu kurang daripada jumlah itu,
tidak boleh berhimpit-himpit,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, warga emas berumur lebih
70 tahun dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir ke rumah ibadat
berkenaan.
Saringan suhu badan, penyediaan cecair pencuci kuman dan
pemakaian pelitup separuh muka juga adalah sebahagian daripada SOP yang
ditetapkan, katanya.
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor