Pages

Friday, May 15, 2020

SOLAT JUMAAT DI SELURUH PAHANG BERMULA MINGGU DEPAN



KUANTAN: Solat Jumaat diadakan di tiga masjid daerah ini hari ini sebagai percubaan sebelum kebenaran diperluaskan kepada satu masjid di setiap daerah untuk berbuat demikian mulai 22 Mei ini.


Tiga masjid berkenaan ialah Masjid Negeri, Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA).


Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pegawai masjid termasuk kadi daerah diminta supaya melihat prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan hari ini untuk pastikan peraturan dan arahan dilaksanakan di daerah nanti diikuti demi keselamatan rakyat.


"Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita semua menunaikan solat Jumaat, hari ini.


"Saya pasti semua jemaah di sini rindukan masjid untuk menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Bagaimanapun kita harus sama-sama faham musuh COVID-19 yang sedang kita hadapi sekarang ini tidak kelihatan.


"Langkah kerajaan menutup sementara solat berjemaah di masjid adalah satu keharusan dalam hukum agama," titah baginda sempena solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negeri, Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.


Dalam pada itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyeru kepada umat Islam di Pahang tidak lupa untuk membayar zakat fitrah.


"Saya difahamkan hingga kini baru 40 peratus kutipan dibuat. Saya juga bersetuju bagi memudahkan lagi proses pembayaran zakat fitrah, khidmat amil akan digerakkan semula.


"Bagaimanapun, ia mestilah mengikut prosedur dan SOP yang ditetapkan dan bagi yang mempunyai perbankan internet, gunakan kemudahan berkenaan," titahnya.


Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), bertitah bagi tempoh Januari hingga April lalu, sebanyak RM56 juta zakat diagihkan kepada golongan asnaf.


SUMBER:  FACEBOOK ,Fakhruddin Ariff/ BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor