KUALA LUMPUR, 16 Mei – Jangan sekali-kali terlintas di
fikiran untuk cuba merentas negeri tanpa kebenaran kerana tindakan anda itu
boleh berakhir dengan dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit
Berjangkit 1988 atau Akta 342.
Tambahan pula ketika ini sekatan jalan raya di plaza tol
seluruh negara mula dilaksanakan dan orang ramai diharap dapat memberi
kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan serta prosedur operasi standard
(SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenakan 144
sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan menahan 44
individu atas kesalahan melanggar SOP.
Walaupun ramai menanggung rindu setelah lama tidak berjumpa
keluarga di kampung sejak PKP fasa pertama dilaksanakan 18 Mac lepas, apatah
lagi dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, perlu diingat bahawa
percubaan merentas negeri bukan sahaja boleh menyebabkan individu dikenakan
tindakan malahan mungkin menyumbang risiko kepada keluarga masing-masing.
Larangan rentas negeri itu bukan saja-saja hendak
dilaksanakan, tetapi tujuannya adalah untuk mengelakkan penularan wabak
COVID-19.
Sebelum ini, kerajaan membenarkan pasangan suami isteri yang
tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi membolehkan
mereka berjumpa dengan keluarga, namun bagi golongan bujang kelonggaran itu
masih belum dapat diberikan.
Walaupun tidak dapat bersua muka, bersyukurlah masih ada
teknologi seperti laman media sosial dan aplikasi panggilan video yang boleh
digunakan sebagai pengganti diri yang setidak-tidaknya dapat mengubat kerinduan
kepada keluarga.
Hari ini adalah hari ke-12 PKPB dilaksanakan sejak 4 Mei
lepas, dan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia ialah 6,855 kes dengan 112
kematian.
Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor
Hisham Abdullah, usaha pemurnian data-data berkaitan COVID-19 sudah dijalankan
dan satu sistem pangkalan data dikenali ‘eCOVID’ telah dibangunkan.
Menerusi sistem itu, pengumpulan data daripada lapangan
dapat dijalankan dengan lebih berkesan, cepat dan tepat.
SUMBER .- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor