KUANTAN - Beberapa sektor termasuk operasi pusat beli-belah,
restoran, kilang, gerai makanan, hentian rehat dan rawat (R&R), premis dobi
layan diri dan aktiviti riadah di negeri ini dibenarkan kembali beroperasi
dengan beberapa syarat pengoperasian yang perlu dipatuhi.
Selain itu, waktu operasi stesen minyak kembali mengikut
kebenaran lesen sedia ada sebagai mana kelulusan oleh Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Keputusan itu dicapai selepas kerajaan negeri mengesahkan persetujuan
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setelah mengkaji,
memperhalusi dan melakukan pengubahsuaian wajar ke atas prosedur operasi
standard (SOP) berkaitan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin
Ishak berkata, ia diputuskan kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri (PBN)
bersama Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang bermesyuarat di sini
hari ini.
Menurutnya, keputusan itu bagaimanapun hanya tertakluk
kepada premis yang berada dalam kawasan zon hijau selain mematuhi syarat-syarat
am operasi termasuk pekerja bebas jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dan
mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan.
“Waktu operasi pusat beli-belah ditetapkan bermula jam 7
pagi hingga 7 petang melibatkan aktiviti perniagaan dari sektor yang dibenarkan
sahaja manakala operasi berbentuk hiburan dan permainan seperti panggung
wayang, snuker dan permainan indoor tidak dibenarkan.
“Selain itu beberapa syarat turut digariskan bagi operasi
pusat beli-belah termasuk kapasiti petak parkir yang boleh digunakan di setiap
kompleks perniagaan dihadkan kepada 50 peratus sahaja pada satu-satu masa
selain menghadkan laluan pintu masuk ke kompleks,” katanya melalui satu
kenyataan di sini hari ini.
Dr Sallehuddin berkata, kerajaan negeri membenarkan restoran
beroperasi dengan syarat jarak antara meja dua meter dan jarak antara kerusi
pelanggan satu meter dengan waktu operasi pada Ramadan ini bermula 12 tengah
hari hingga 12 tengah malam dan waktu operasi pada bulan biasa ditetapkan
bermula jam 7 pagi hingga 7 petang sahaja.
Sementara waktu operasi bagi premis restoran bukan Islam
bermula 7 pagi hingga 7 petang.
“Kilang juga dibenarkan beroperasi seperti syarat lesen
dengan semua pekerja dibenarkan kembali bekerja,” katanya.
Beliau berkata, bagi aktiviti riadah, hanya sukan golf
dibenarkan dengan beberapa syarat ditetapkan manakala berjoging hanya
dibenarkan di taman perumahan secara sendirian dengan penjarakkan 10 meter
dengan individu lain. Turut dibenarkan aktiviti bermotosikal dan berbasikal.
Justeru, katanya, Pihak Berkuasa Negeri Pahang bersama JKKN
memutuskan supaya semua PBT memantau semua perusahaan, perniagaan dan aktiviti
berdasarkan SOP yang telah diputuskan.
“JKKN juga bersetuju menubuhkan pasukan penguatkuasa bersama
dianggotai Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit
Penguatkuasaan Negeri dan jabatan-jabatan lain bagi mengelak pertindihan fungsi
yang boleh mengelirukan orang ramai dan pengusaha premis.
“Lawatan pemantauan akan dilaksanakan secara bersama, tetapi
setiap penguat kuasa mempunyai bidang kuasa tersendiri,” katanya.
Menurutnya, sebarang kesalahan dan pelanggaran pematuhan
pengoperasian boleh dikenakan tindakan atau hukuman mengikut Akta Pencegahan
dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau Seksyen 101(v), Akta
Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), atau kedua-duanya sekali.
INFO
Syarat Pengoperasian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) di Pahang
Syarat-syarat Am Operasi Premis
a) Premis yang hendak dibuka semula mestilah berada dalam
zon hijau sahaja (zon merujuk kepada mukim, bandar dan pekan mengikut Seksyen
11, Kanun Tanah Negara 1965)
b) Semua pekerja yang berada di dalam premis hendaklah
menjalani saringan dan bebas daripada jangkitan Covid-19. Saringan pekerja mestilah
ditanggung oleh pihak majikan/syarikat terutamanya untuk ujian Covid-19.
c) Saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari
dan direkodkan.
d) Menjalankan saringan suhu badan ke atas semua pelanggan,
pelawat dan semua yang berurusan di premis dan direkodkan dengan mencatatkan
data pelanggan termasuk nama, alamat dan nombor telefon.
e) Premis hendaklah dinyah kuman setiap hari.
f) Menyediakan hand sanitizer untuk semua pekerja dan
pelanggan.
g) Semua pekerja dan pelanggan hendaklah memakai penutup
mulut dan hidung sepanjang masa semasa berada di dalam premis.
h) Tiada waktu rehat pekerja serentak.
i) Premis yang mempunyai 10 pekerja ke atas hendaklah
menubuhkan Jawatankuasa Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response Team)
2. Syarat-syarat Khusus Operasi Premis
I. Restoran
i) Jarak antara meja: 2 meter.
ii) Jarak antara kerusi pelanggan: 1 meter.
iii) Waktu operasi (Bulan Ramadan): Muslim (12 tengah
hari–12 tengah malam), bukan Muslim (7 pagi–7 petang).
iv) Waktu operasi (Luar Ramadan): 7 pagi–7 petang.
II. Kilang yang Dibenarkan Beroperasi Sebelum 4 Mei 2020
i) Semua kilang dibenarkan beroperasi pada kadar 100 peratus
daripada jumlah keseluruhan pekerja sehingga semua pekerja lulus saringan Covid-19.
ii) Dibenarkan beroperasi sebagaimana kelulusan lesen.
III. Food Court dan Food Truck
Operasi Food Court dan Food Truck adalah secara bungkus
(take away) sahaja buat masa ini.
IV. Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Karak-KL,
LPT 1 dan LPT 2
Operasi R&R dibenarkan dengan syarat-syarat berikut:
i) Restoran: Satu meja hanya dibenarkan untuk seorang
pelanggan.
ii) Surau: Surau hanya dibenarkan digunakan oleh pelanggan
yang membawa sejadah dan telekung sendiri. Pengurusan Lebuh raya hendaklah
meletakkan pengawal bagi menguatkuasakan arahan ini.
iii) Hand sanitizer disediakan di semua kaunter
restoran/gerai, surau.
iv) Sabun pencuci tangan hendaklah disediakan di semua
sinki, tempat wudhuk dan tandas.
V. Stesen Minyak
i) Waktu operasi adalah menurut kebenaran lesen sedia ada
sebagai mana kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP).
ii) Hendaklah menyediakan sarung tangan atau hand sanitizer
di setiap pam minyak (island).
iii) Setiap nozzle hendaklah dinyah kuman setiap jam.
VI. Tatacara Pasar Awam
- Dibenarkan beroperasi jam 5 pagi hingga 2 petang.
- Pasar hendaklah dinyah cemar setiap hari selepas waktu
operasi.
- Memastikan pelanggan:
a) Berada di gerai tidak melebihi 5 minit untuk satu
pembelian barang atau tidak melebihi 20 minit untuk lebih 10 barang.
b) Elakkan dari menyentuh barang-barang jualan, memadai
dengan meminta peniaga terus membungkus barangan yang hendak dibeli.
c) Penjual hendaklah memberi jaminan untuk mengembalikan
wang kepada pembeli sekiranya barang yang dibeli tidak memenuhi kehendak
pembeli selagi tidak meninggalkan kawasan pasar.
d) Hanya seorang pelanggan di setiap gerai pada satu masa.
VII. Premis Dobi Layan Diri
1. Waktu operasi jam 7 pagi hingga 7 petang.
2. Menyediakan hand sanitizer.
3. Mesin basuh dan mesin pengering perlu dinyah kuman setiap
kali digunakan.
4. Menandakan tempat yang dibenarkan pelanggan berada pada
sepanjang masa di dalam premis dengan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara
pelanggan
5. Jumlah pelanggan di dalam ruang menunggu hendaklah
mengikut keluasan ruang lantai iaitu 5 meter persegi bagi seorang pelanggan.
6. Tidak dibenarkan melipat pakaian di dalam premis.
7. Menyediakan petugas sepanjang masa operasi bagi
memastikan pelaksanaan syarat-syarat dipatuhi.
Kompleks membeli- belah
- Waktu operasi jam 7 pagi hingga 7 petang.
- Hanya aktiviti perniagaan dari sektor yang dibenarkan
sahaja boleh beroperasi.
- Operasi premis berbentuk hiburan dan permainan seperti
Kiddie Ride, Game Centre, panggung wayang, karaoke, snooker, boling, Claw Game
dan taman permainan/taman tema indoor yang terdapat di dalam kompleks tidak
dibenarkan.
- Kapasiti petak parkir yang boleh digunakan di setiap
kompleks perniagaan dihadkan kepada 50 peratus sahaja pada satu-satu masa.
- Menghadkan laluan/pintu masuk ke kompleks. Hanya
laluan/pintu masuk melalui kompleks sahaja dibenarkan, pintu masuk melalui
premis sewaan (tenant) tidak dibenarkan.
- Penggunaan lif dihadkan mengikut keluasan lif dan mesti
dibuat penandaan jarak 1 meter di antara pengguna.
- Penyewaan kiosk/gerai/push cart tertakluk kepada
penjarakan (2 meter antara kiosk) pada kadar 50 peratus dari kuantiti sedia
ada. Pihak kompleks perlu menyediakan pelan lantai bagi sewaan kiosk/gerai/
push cart.
- Hand Sanitizer/tisu/tong sampah perlu disediakan di setiap
lokasi mesin pengeluaran wang (ATM).
- Pelanggan tidak dibenarkan mencuba (fitting) sebarang
jenis pakaian dan kasut. Pelanggan juga tidak dibenarkan membuat
penukaran/pemulangan semula pakaian yang telah dibeli.
- Premis food court yang terdapat di dalam kompleks boleh
beroperasi secara beli dan bungkus atau 'take away' sahaja.
- Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan
memasuki bangunan kompleks.
- Kompleks akan ditutup selama tiga (3) hari untuk
pembersihan sekiranya terdapat kes positif Covid-19.
- Setiap tandas perlu dibuat sanitasi sekurang-kurangnya 3
kali sehari dan perlu direkodkan dalam buku rekod pembersihan.
- Penggunaan surau hanya terhad kepada kakitangan kompleks
dan penyewa premis sahaja tertakluk kepada syarat berikut:
a) Dibuka jam 1.15 tengah hari–6 petang sahaja.
b) Kakitangan perlu membawa sejadah dan telekung sendiri.
c) Sabun pencuci tangan disediakan.
d) Hendaklah melalui proses nyah kuman pada setiap hari.
e) Dihadkan pengguna kepada maksimum 5 orang pada satu-satu
masa.
f) Menugaskan pengawal sepanjang waktu dibuka.
Riadah
a) Golf
i) Semua padang golf dan swasta hendahklah mematuhi garis
panduan yang ditetapkan oleh MGA serta syarat –syarat berikut:
a) Kelab dibenarkan beroperasi jam 7 pagi – 7 petang sahaja
b) Semua Kelab dikehendaki mengikut semua SOP permainan yang
telah ditetapkan.
c) Penggunaan 'driving range' berdasarkan tempahan sahaja
dan penggunaan bay secara berselang.
d) Caddy perlu sentiasa memastikan jarak 1 meter daripada
pemain sepanjang tempoh permainan.
e) Penjarakan sosial antara pemain ialah 3 meter.
f) Semua kemudahan Kelab seperti gimnasium, kolam renang,
surau dan bilik persalinan hendaklah ditutup.
g) Jumlah dan tempoh masa pelanggan berada di Pro Shop perlu
dikawal oleh pengurusan Kelab
h) Cafeteria Kelab perlu mematuhi SOP seperti mana yang
telah ditetapkan untuk restoran.
i) Jumlah pelanggan di dalam ruang proshop hendaklah mengikut
keluasan ruang lantai iaitu 5 meter persegi bagi seorang pelanggan
ii) Tidak dibenarkan menganjurkan sebarang bentuk aktiviti
berkumpulan, keraian dan pertandingan.
b) Joging
- Dibenarkan hanya di taman perumahan sahaja.
- Dilakukan secara sendirian (acara berkumpulan, berpasangan
atau keluarga tidak dibenarkan).
- Tidak dibenarkan membawa kanak-kanak berumur di bawah umur
10 tahun.
- Penjarakan sosial 10 meter daripada individu lain.
- Tidak dibenarkan menganjurkan sebarang bentuk aktiviti
berkumpulan, keraian dan pertandingan.
- Aktiviti tidak boleh dilakukan di jalan
raya/persekutuan/negeri/kampung dan semua trek taman hutan.
c) Berbasikal dan Motosikal
i) Tidak dibenarkan melebihi 5 kenderaan.
ii) 1 kenderaan hanya untuk 1 orang sahaja.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor