KUALA LUMPUR, 4 Mei — Selepas 47 hari rakyat Malaysia
’terkurung’, hari ini hari pertama Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) yang
dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 dilonggarkan kepada
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Apa yang longgar? Antara lain, Jakel kini boleh beroperasi,
begitu juga pusat membeli belah lain. Restoran ‘Mamak’ yang dirindui juga sudah
boleh dikunjungi dan orang ramai boleh menjamu selera di premis-premis kedai
makan, manakala kenderaan persendirian kini
boleh dinaiki empat orang.
Namun, perlu diingat PKP ini hanyalah dilonggarkan dan
tarikh tamat sebenar perintah ini yang kini masuk fasa keempat adalah pada 12
Mei ini.
Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham
Abdullah dalam sidang medianya semalam menegaskan persepsi yang menganggap
kerajaan sudah tamatkan PKP dan hari ini kita ‘raya’ adalah salah.
Katanya, sekarang terserah kepada disiplin orang ramai dan kepatuhan
mereka kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) perintah berkenaan bagi membantu
melandaikan lekuk COVID-19 seterusnya menjadikan kes positif sifar.
Dalam keghairahan meraikan ’kebebasan’ ini, perlu diingat
juga kes positif baharu COVID-19, kembali mencecah angka tiga digit dua hari
berturut sejak dua hari lepas selepas 16 hari kita berjaya merekodkan angka dua
digit.
Semalam, sebanyak 122 kes positif COVID-19 direkodkan,
meningkat dari hari sebelumnya sebanyak 105 kes.
Bagaimanapun, keputusan melonggarkan PKP kepada PKPB yang
diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lepas masih kekal dan
hanya kawasan yang mencatatkan kenaikan mendadak kes COVID-19 akan ditutup
selepas ini.
Bagi menyelia kepatuhan rakyat secara keseluruhan terhadap
PKP, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam
sidang medianya semalam, mahu orang ramai memainkan peranan masing-masing dalam
membuat laporan polis jika terdapat mana-mana pihak yang melanggar SOP PKPB.
Beliau turut menasihatkan orang ramai memuat turun aplikasi
MyTrace dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang boleh
digunakan bagi membantu kerajaan mengesan jejak mereka yang telah dijangkiti
wabak COVID-19 berhampiran mereka dan kontak rapat mereka.
Ingatlah, kita masih belum menang dalam peperangan wabak
ini. Jangan jadikan kegembiraan sementara kita dalam meraikan sedikit kebebasan
ini satu kerugian kepada usaha kita ‘berkurung’ selama 47 hari sebelum ini.
SUMBER -BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor