Pages

Monday, May 4, 2020

IBADAH DI MASJID, SURAU TUNGGU ARAHAN KERAJAAN




KUALA LUMPUR: Semua aktiviti di masjid dan surau akan dibenarkan semula sebaik kerajaan berpuas hati serta meluluskan penggunaan garis panduan ibadah yang disediakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata garis panduan itu sudah pun siap.

Katanya, ia sudah dibentang dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali keempat pada Khamis lalu.

"Ya, jika kerajaan berpuas hati dengan garis panduan disediakan, juga tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat secara umumnya sepanjang PKPB disamping mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam senarai soalan lazim (FAQ) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) portfolionya.

Beliau berkata, pertimbangan utama kepada kebenaran itu kelak adalah bergantung kepada tahap kesiapsiagaan pihak berkuasa agama, pentadbiran masjid dan surau serta persediaan teknikal mesti berada di tahap optimum.

"Pertimbangan utama kerajaan melihat kepada kesiapsiagaan dan persediaan teknikal semua pihak iaitu Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sebagai badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran

agama serta persediaan masjid dan surau di tahap terbaik," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan garis panduan itu juga tertakluk kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa serta kebenaran dari KKM dan MKN.

"Buat masa ini, berdasarkan pertimbangan pihak berwajib, kerajaan memutuskan sebarang bentuk aktiviti agama berjemaah di masjid dan surau masih dilarang dalam tempoh PKPB," katanya.

Katanya, larangan itu termasuk ketika PKPB ini, sudah mendapat nasihat dan pandangan mufti yang disampaikan melalui MKI, diadakan sebanyak empat kali sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


SUMBER: BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor