PETALING JAYA: Kerajaan negeri Johor dan Perak membenarkan
solat Jumaat di masjid dan surau mulai esok dalam tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengenakan beberapa syarat.
Pejabat Mufti Johor menerusi satu kenyataan di Facebook
berkata keputusan itu berdasarkan hujah mahu menegakkan syiar Islam dan
berdasarkan kaedah feqah.
“Apa-apa perintah syarak yang tidak boleh dilakukan
kesemuanya, maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya.
“Menghadkan bilangan jemaah adalah untuk mengelakkan
masyaqqah (kesukaran) dan mudarat yang lebih besar iaitu penularan wabak Covid-19
yang boleh membawa kepada kematian,” menurut kenyataan itu.
Johor membenarkan solat Jumaat dengan syarat pelaksanaannya
terhad kepada 12 jemaah sahaja yang terdiri daripada imam 1, imam 2, bilal,
noja dan 8 ahli jawatankuasa masjid yang digilirkan.
“Manakala ahli kariah hendaklah menunaikan solat Zuhur di
rumah masing-masing sebagai ganti solat Jumaat,” katanya.
Bagaimanapun Johor masih menangguhkan solat 5 waktu
berjemaah, solat terawih, solat sunat Aidilfitri dan semua aktiviti masjid dan
surau sehingga berakhirnya PKPB pada 9 Jun ini.
Selain solat Jumaat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Perak turut membenarkan solat sunat Aidilfitri tetapi tertakluk kepada beberapa
syarat, termasuk menghadkan kepada 12 jemaah yang terdiri daripada ahli
jawatankuasa kariah dan pegawai masjid atau surau.
Ia juga tidak menggalakkan kariah berusia lebih 60 tahun
hadir berjemaah.
“Setiap jemaah hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan,
sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran, mengambil wuduk sebelum datang ke
masjid dan membawa sejadah masing-masing.
“Mereka yang bergejala seperti demam, sesak nafas, sakit
tekak dan selesema tidak dibenarkan hadir,” menurut kenyataan majlis agama itu
di Facebook.
Jumaat lalu, Perlis membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai
15 Mei sebagai langkah permulaan untuk membolehkan “syiar Jumaat” dihidupkan
kembali.
Peraturan yang ditetapkan ialah jumlah jemaah, termasuk
imam/khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang dari 2 orang dengan hanya
pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid yang dibenarkan.
SUMBER: FMT
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor