KUANTAN, 14 MEI 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku
Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengampuni perkenan agar tempoh
pemegang jawatan Menteri Besar Pahang oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail dan 10 orang YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Pahang
dilanjutkan sehingga tarikh pembubaran Dewan Negeri Pahang yang ke-14.
YAB Menteri Besar bersama Exco-Exco iaitu YB Dato’ Sri Haji
Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, YB Dato’
Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, YB Dato’ Sri
Haji Mohd Johari Haji Hussain, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, YB
Dato’ Haji Nazri Ngah dan YB Encik Abd Rahim Muda akan tamat tempoh jawatan
pada 14 Mei 2020 manakala dua lagi Exco iaitu YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan
Sri Abdul Razak dan YB Dato’ Abd. Aziz Haji Mat Kiram akan tamat tempoh jawatan
pada 4 Jun 2020.
Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, YH Dato’ Haji
Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada
YAB Menteri Besar Pahang dan Exco Pahang atas pelanjutan tempoh pemegang
jawatan berkenaan dan berharap agar YAB Menteri Besar Pahang dan Exco Pahang
terus berkhidmat demi rakyat dan Negeri Pahang dengan lebih komited.
“Dalam persekitaran norma baru akibat wabak COVID-19 yang
melanda negara dan Negeri Pahang, baginda berharap YAB Menteri Besar Pahang dan
Exco Pahang dapat mengembleng segenap usaha bagi memastikan kebajikan dan
kesejahteraan rakyat jelata tidak terjejas di samping terus berusaha untuk
mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan media di
sini hari ini.
Beliau juga berkata, baginda juga mendoakan seluruh rakyat
Negeri Pahang sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat. Semoga Allah SWT
sentiasa melindungi Negeri Pahang daripada segala wabak, bencana dan
malapetaka.
SUMBER -PAHANGMEDIA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor