Pages

Friday, May 1, 2020

HAMPIR SEMUA SEKTOR EKONOMI, AKTIVITI PERNIAGAAN AKAN DIBUKA BERMULA 4 MEI-PM




KUALA LUMPUR, 1 Mei  -- Hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei, 2020, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.


"Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat," katanya dalam perutusan khas Hari Pekerja 2020, hari ini.


Muhyiddin berkata, senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan beroperasi boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.


Menurutnya, senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes jangkitan COVID-19.


"Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.


"Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,”katanya.


Selain perniagaan, aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan, tegas beliau.


Perdana Menteri dalam perutusannya berkata beliau memahami bahawa setelah hampir dua bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai dalam kalangan tenaga kerja ingin kembali bekerja kerana sepanjang PKP mereka terputus mata pencarian dan memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.


“Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara.


“Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan,” kata Muhyiddin.


Beliau berkata negara kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan dan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.


"Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion," ujarnya.


Perdana Menteri berkata sejak dari awal kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 serta menghadapi krisis ekonomi, menggunakan strategi yang merangkumi enam pendekatan.


Menurutnya, pendekatan pertama adalah ketegasan dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP;  Kedua, membina ketahanan melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi manaka ketiga, menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal.


Pendekatan keempat pula adalah melaksanakan strategi pemulihan ekonomi dalam menghadapi normal baharu;  kelima, memperkasakan ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan dan keenam menyusun semula struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan rakyat melangkah ke era kehidupan yang berubah dengan adanya ‘normal baharu’, kata Muhyiddin.



SUMBER -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor