PUTRAJAYA, – Sebanyak 24.62 juta penutup mulut dan hidung
kini dalam proses pengedaran kepada setiap rakyat secara percuma di seluruh negara,
kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebanyak empat
keping penutup muka akan diagihkan kepada setiap isi rumah.
Beliau berkata tugas pengedaran akan diselia Angkatan Pertahanan
Awam Malaysia (APM) kepada Majlis Keselamatan Negeri, sebelum diedar ke
daerah-daerah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
“Dari sini ia akan diagih rumah ke rumah oleh petugas
barisan hadapan di daerah.
“Untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, ia akan dihantar melalui
penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia pada Jumaat ini, selepas itu
akan diagih ke peringkat daerah dan seterusnya ke rumah-rumah,” katanya pada
sidang media hariannya di sini, hari ini.
Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata ada
daerah telah pun menerima penutup mulut dan hidung dan pengedarannya dijangka
dilakukan dalam tempoh terdekat.
Beliau turut menasihatkan hanya mereka yang bergejala perlu
memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar dari rumah seperti yang
disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Pada masa yang sama Ismail Sabri sekali lagi menegaskan
bahawa kesemua penutup yang diagihkan itu, dibeli oleh kerajaan dan bukannya
disumbangkan oleh mana-mana negara.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini
mengumumkan pemberian penutup mulut dan hidung secara percuma kepada rakyat di
negara ini berikutan permintaan yang tinggi sehingga sukar untuk mendapatkannya
di pasaran.
Berikutan itu, kerajaan mengimport sebanyak 10 juta penutup
itu untuk diagihkan kepada rakyat
SUMBER .- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor