Mereka yang terkandas di kampung dan mahu pulang perlu
memohon bermula 26 Apr, kemaskini pada 29 Apr, dan semak status pada 1 Mei.
PETALING JAYA: Orang ramai yang terkandas di kampung halaman
dan mahu pulang ke kediaman masing-masing dibenarkan melakukannya dalam tempoh
3 hari, iaitu pada 1 hingga 3 Mei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed
berkata mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan bermula 26 Apr menerusi
aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore,
Apple App Store dan Huawei App Gallery.
“Mereka hendaklah mengemas kini permohonan pada 29 April
untuk mengesahkan destinasi perjalanan.
“Seterusnya pada 1 Mei boleh menyemak status permohonannya
dalam talian,” katanya.
Pada 22 Apr lalu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob
berkata mereka yang tiada kemudahan internet boleh membuat temujanji dengan
balai polis berdekatan untuk pendaftaran diri.
Pengumpulan data ini memerlukan butiran diri pendaftar,
bilangan ahli keluarga yang mahu pulang bersama dan tempat tinggal mereka.
Huzir berkata semua kebenaran adalah melalui aplikasi Gerak
Malaysia dan bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan berkenaan, permohonan
secra bertulis untuk kebenaran perjalanan boleh dibuat di balai polis
berhampiran.
“Keutamaan perjalanan hanya akan diberikan kepda pengguna
aplikasi Gerak Malaysia,” katanya.
Huzir juga memaklumkan kenyataan media berhubung pendaftaran
menerusi Gerak Malaysia akan dikeluarkan hari ini, diikuti sidang media khas pada
29 Apr mengenai pergerakan mengikut negeri, bagi memastikan perjalanan yang
terlibat lancar dan teratur.
Huzir mengingatkan setiap pengguna lebuh raya dikehendaki
merancang perjalanan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Individu yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan
diingatkan tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di Kawasan Rehat dan
Rawat (R&R).
“Kemudahan surau juga ditutup dan sebarang aktiviti bersolat
secara berjemaah tidak dibenarkan di kawasan R&R, termasuk di mana-mana
bangunan, kawasan lapang dan tempat letak kereta.
“Hanya kemudahan tandas awam sahaja disediakan kepada
pengguna lebuh raya,” katanya.
Huzir berkata kawasan tempat letak kereta hanyalah digunakan
untuk tujuan rehat dan pengguna tidak sesekali dibenarkan keluar dari kenderaan
semasa dalam tempoh rehat kecuali dengan tujuan penggunan tandas awam.
“Manakala stesen minyak di sepanjang lebuh raya hanya akan
beroperasi antara 6 pagi hingga 12 tengah malam.
“Pengguna dilarang melakukan sebarang aktiviti berkumpulan
dalam tempoh perjalanan tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor