KUANTAN, 10 April --
Dakwaan yang tular dalam kumpulan aplikasi WhatsApp bahawa kawasan Indera
Mahkota 2 di sini akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
(PKPD) hari ini adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali yang
menafikan berita itu berkata setakat ini tiada arahan berhubung PKPD
dikeluarkan untuk kawasan berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai mesej
yang dibuat individu tidak bertanggungjawab atau menyebarkannya kerana
dibimbangi boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya kepada pemberita.
Mohamad Noor juga mengingatkan mereka yang menyebarkan
berita palsu seperti itu boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk di
bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mesej yang tular dalam kumpulan aplikasi WhatsApp hari ini
mendakwa kononnya Ketua Balai Polis Indera Mahkota meminta orang ramai supaya
membuat persiapan kerana kawasan Indera Mahkota 2 akan dikenakan PKPD yang akan
menyebabkan mereka tidak dibenarkan keluar.
Mohamad Noor dalam pada itu menasihatkan penduduk Kuantan
agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak keluar rumah
tanpa alasan yang kukuh bagi membantu membendung penularan COVID-19.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor