KUANTAN – Hampir
10,000 unit PPE diperlukan setiap hari di hospital dan pusat kurantin di Pahang
kerana selain petugas kesihatan, PPE turut digunakan oleh petugas sokongan
seperti pekerja pembersihan dan penyajian makanan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak
berkata mereka memerlukan bahan itu dalam kuantiti yang banyak supaya petugas
kesihatan dan mereka yang terlibat dengan pesakit COVID-19 tidak risau dengan
kekurangan PPE.
Kerajaan negeri Pahang memohon pembekal atau kilang yang
menghasilkan material membuat peralatan perlindungan diri (PPE) untuk membantu
membekalkan bahan itu bagi kegunaan petugas yang mengendalikan kes COVID-19 di
negeri ini.
"Kita mendapatkan material membuat PPE dari Kuala
Lumpur namun keperluan menghasilkan PPE dalam kuantiti yang banyak menyebabkan
kita perlu mencari lebih ramai pembekal, sama ada mereka mahu menderma atau
menjual.
"Kita tidak mahu mereka yang bertugas mengendalikan
pesakit COVID-19 risau dengan kekurangan PPE atau perlu menghasilkan PPE
sendiri. Tugas mereka sudah sedia sibuk dan jangan disukarkan lagi urusan
mereka," katanya.
Sallehuddin berkata demikian selapas meninjau proses
pembuatan pelindung muka secara sukarela oleh 60 pelajar Kolej Universiti Islam
Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini, melibatkan mereka yang tidak dapat
pulang selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kesukaran
dari aspek tenaga kerja untuk menghasilkan PPE kerana menerima banyak bantuan
daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan
(NGO).
"Kita juga mengalu-alukan lebih ramai NGO untuk turut
sama membantu petugas barisan hadapan. Mereka yang berminat perlu menghubungi
Pejabat Kerajaan Negeri Pahang bagi mendapatkan material selain perlu mematuhi
prosedur operasi standard (SOP) pembuatan PPE," katanya.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor