KUALA LUMPUR, 4 April -- Didorong niat membantu petugas
barisan hadapan mengendalikan pesakit COVID-19, seorang perunding pembedahan
mengambil inisiatif menghasilkan kotak perlindungan intubasi untuk diedarkan secara
percuma di hospital dan klinik awam di seluruh negara.
Melalui proses yang mengambil masa hanya satu jam
menggunakan plastik acrylic lut sinar, Prof Dr Firdaus Hariri, 42, berkata
kotak perlindungan intubasi itu mampu berfungsi sebagai perisai untuk petugas
perubatan barisan hadapan semasa melakukan prosedur intubasi pada pesakit
COVID-19.
“Walaupun kebanyakan petugas barisan hadapan kita
menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) semasa melakukan prosedur
berisiko, kotak ini akan memberikan perlindungan tambahan daripada terkena
titisan sekresi pernafasan daripada pesakit dan mengurangkan lagi risiko
terdedah kepada jangkitan semasa.
“Kotak ini dengan lubang untuk memasukkan tangan mampu
memberikan perlindungan tambahan kepada petugas perubatan dan dalam masa sama
ianya tidak menghalang pergerakan tangan mereka bagi menjalankan prosedur
menyelamatkan atau mengambil calitan tekak pesakit,” katanya ketika dihubungi
Bernama baru-baru ini.
Menceritakan pengalamannya memulakan inisiatif itu, Pakar
Perunding Pembedahan Mulut dan Maksilofasial Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM) itu berkata beliau mula mengetahui mengenai kotak itu melalui media
sosial seorang doktor daripada Taiwan.
Tertarik dengan idea itu, beliau terus menghubungi doktor
itu untuk meminta kebenaran menggunakan segala maklumat berkaitan reka bentuk
kotak berkenaan.
“Setelah mendapat kebenaran, saya meminta bantuan dua orang
rakan yang mempunyai studio arkitek untuk membuat model 3D (tiga dimensi) dan
menghasilkan beberapa prototaip kotak itu dan kemudian kita edarkan ke PPUM dan
Hospital Selayang. Kita dapat maklum balas positif dan input bagi
penambahbaikan kotak itu di samping respon baik terutamanya di media sosial.
“Bermula daripada situ, inisiatif ini berkembang dan saya
telah mendapat bantuan dan sokongan masyarakat daripada pelbagai latar belakang
serta syarikat-syarikat yang turut sama membantu menghasilkan kotak ini,”
menurutnya.
Dr Firdaus berkata kos menghasilkan kotak intubasi itu
adalah antara RM150 hingga RM200 seunit dan ia juga bergantung kepada bekalan
dan harga plastik acrylic yang berbeza mengikut kawasan.
“Kos bukan isu utama kerana usaha ini merupakan khidmat
kepada negara daripada seluruh pihak yang memberikan bantuan. Sumbangan yang
telah diterima bagi pembelian kos untuk material daripada syarikat atau
individu membolehkan penghasilan dan pengedaran kotak-kotak ini dilakukan
secara percuma kepada fasiliti kesihatan yang memerlukan” katanya.
Sehingga hari ini, melalui hasil kerjasama Dr Firdaus dengan
badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Old Putera Association (OPA), sebanyak 249
unit kotak intubasi dan pelindung pensampelan (digunakan semasa prosedur
mengambil calitan tekak) telah berjaya diedarkan ke hospital, pusat kesihatan
daerah dan klinik kesihatan di negeri-negeri di semenanjung Malaysia.
Selain itu, semalam sebanyak 85 unit kotak intubasi, 72 unit
perisai pensampelan serta peralatan PPE berjaya dibawa ke Sarawak dengan
bantuan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Orang awam yang berminat untuk membantu dalam inisiatif ini
boleh melayari Facebook ‘Old Putera Association’ untuk maklumat lanjut.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor