KUALA LUMPUR, -- Bekalan ubat Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan
kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan untuk
merawat penyakit lain, boleh digunakan dalam rawatan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
berkata semakan pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi
Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiga jenis ubat itu
berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
Beliau berkata bekalan ubat-ubatan yang perlu diimport
seperti Favipiravir dan Remdesivir (ubat antiviral) akan sentiasa dimudah cara
oleh KKM bagi kegunaan rawatan COVID-19.
“Bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia telah dipilih oleh
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk terlibat dalam kajian klinikal ‘Multicenter
Adaptive Solidarity trial - COVID-19’ yang mana ubat kajian tersebut akan
digunakan.
“NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk
membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin manakala
bagi ubat Favipiravir, KKM sedang berusaha mendapatkan ubat tersebut daripada
pembekal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dr Noor Hisham berkata dalam situasi pandemik COVID-19
ketika ini, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada
untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, KKM masih boleh mendapatkan bekalan
alternatif daripada produk yang tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian
peruntukan undang-undang kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan KKM.
KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui
program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan
kualiti, keselamatan serta keberkesanan ubat-ubatan adalah terjamin demi
kepentingan pesakit, katanya.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor