KUANTAN, 28 Mac --
Tempoh penangguhan semua aktiviti masjid dan surau di seluruh Pahang
dilanjutkan sehingga 14 April ini, selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan
melanjutkan jangka masa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam
Melayu Pahang (MUIP) Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada
pengecualian diberikan berhubung arahan penangguhan itu.
Titah baginda, keputusan itu juga telah diperkenan oleh
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah
selaku Ketua Agama Islam Negeri.
"Masjid hanya dibenarkan melaungkan azan oleh muazzin
yang bertugas. Solat berjemaah bagi setiap ahli kariah masjid hendaklah
dilakukan di rumah bersama ahli keluarga masing-masing.
"Hendaklah diingatkan bahawa solat Jumaat tidak boleh
dilaksanakan di rumah dan hanya boleh digantikan dengan solat Zuhur,"
titah baginda menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Tengku Amir Nasser bertitah pengurusan masjid dan surau di
Pahang perlu mematuhi ketetapan itu dan turut meminta semua umat Islam negeri
ini berdoa bagi memohon agar wabak COVID-19 berakhir segera.
Pada 17 Mac lepas, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman
Osman mengumumkan penangguhan semua aktiviti masjid dan surau ekoran tindakan
kerajaan melaksanakan PKP bagi membendung penularan wabak COVID-19.
PKP mula berkuatkuasa pada 18 Mac lepas dan sepatutnya
berakhir pada 31 Mac ini namun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
baru-baru ini mengumumkan tempoh perintah itu dilanjutkan sehingga 14 April.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor