KUALA LUMPUR, 14 Mac – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri
Mohamad Hasan berkata terdapat pelbagai desas-desus berhubung pelantikan
Kabinet yang baharu bermula, dari ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri
sehinggalah kepada dakwaan bahawa komposisi Kabinet adalah berat sebelah.
Menurut beliau biar apa pun keadaannya, yang perlu difahami
adalah betapa pelantikan anggota kabinet adalah budi bicara Perdana Menteri
sepenuhnya.
“Namun begitu, adalah jelas bahawa UMNO selaku blok Ahli
Parlimen terbesar telah diketepikan dengan cara yang sangat tidak adil yang
boleh dilihat daripada dua perkara. Pertama, pemberian portfolio kementerian
yang tidak kritikal. Keadaan ini sama sekali tidak setimpal dengan jumlah Ahli
Parlimen yang disumbangkan oleh UMNO dan tahap pengalaman yang dimiliki oleh
mereka.
“Kedua, keanggotaan kabinet secara jelas memberikan manfaat
yang sangat besar kepada blok Bersatu dan Datuk Seri Azmin Ali. Sekalipun ia bukanlah
kepentingan paling afdal untuk UMNO memegang kedudukan Kerajaan dalam iklim
politik semasa, adalah mustahak untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin menyantuni saiz
perwakilan parti dalam kerajaan atas dua dasar.
“Pertama kerana ini adalah sistem Westminster. Kabinet
mengamalkan tanggungjawab kolektif, yang hanya akan berkesan jika setiap parti
diwakili dengan jumlah yang sewajarnya,” katanya menerusi catatan di facebook.
Katanya lagi perkara ini sangat kritikal kerana, hanya
dengan mempunyai Kabinet yang bersatu hati, Kerajaan boleh bergerak secara
bersama dengan para pendukungnya dan hanya dengan yang demikian, kerajaan boleh
memfokuskan kepada urusan tadbir urus dan pemerintahan.
“Kedua, selama ini kita sememangnya mengamalkan perwakilan
yang setara dengan saiz yang diwakili dan ia merupakan sistem yang berjaya.
Malah, Pakatan Harapan sendiri mengamalkan pendekatan yang sama semasa menjadi
Kerajaan.
“Maka, adalah lebih penting dalam keadaan semasa yang
menyaksikan kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang sukar. Dengan
cabaran Pandemik Covid-19, kejatuhan pasaran saham dan ketidaktentuan ekonomi,
kita tidak mempunyai ruang dan masa untuk berlengah dan melakukan kesilapan,”
tambahnya.
Tambahnya lagi kabinet adalah institusi yang memandu serta mengukuhkan
bangsa, saat ia berhadapan dengan waktu yang sukar dan sebuah kabinet yang
kuat, terbukti dan inklusif adalah kritikal bagi memastikan kejayaan PN.
“Sekiranya pengalaman politik ini diketepikan, ia akan
memberi kerapuhan yang boleh membawa kepada kegagalan.
“Tanpa sebuah Kabinet yang kuat, Malaysia akan terus menerus
menyaksikan polemik politik yang tidak berkesudahan sekali gus tidak
memungkinkan kita untuk memberi perhatian kepada pembangunan dan daya saing
bangs,” ujarnya
SUMBER .- UMNO Online
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor