Pages

Saturday, March 14, 2020

COVID-19: SEMUA PROGRAM BELIA DAN SUKAN DITANGGUHKAN SEHINGGA 30 APRIL



KUALA LUMPUR, 14 Mac  -- Semua perhimpunan, aktiviti belia dan acara sukan yang dianjurkan atau diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun agensi di bawah seliaannya ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April ini.


Ia selaras dengan keputusan dan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas dan juga keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai COVID-19, semalam.


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu akan diteliti semula sekiranya situasi COVID-19 bertambah baik.


"Keputusan dan peringatan pematuhan ini diambil atas sebab keutamaan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan khususnya belia dan atlet negara yang terlibat di pelbagai peringkat bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 yang semakin menular,” katanya.


Menurut  Reezal Merican, kementeriannya turut mengambil maklum mengenai langkah proaktif  yang diambil beberapa badan sukan dan belia yang telah menangguhkan serta membatalkan program masing-masing.


"Begitu juga inisiatif larangan penonton di lokasi kejohanan masing-masing mengikut kesesuaian setelah mengambil kira nasihat pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan," katanya.


SUMBER -- BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor