Pages

Saturday, March 21, 2020

SALAM ISRAK & MIKRAJ DARI MB PAHANG




Isra’ Mikraj: Mengenang Ketokohan Rasulullah S.A.W


Pada setiap 27 Rejab di dalam kalendar hijrah, umat Islam di seluruh dunia akan mengenang perjalanan Rasulullah S.A.W bermula di Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke Sidhratul Muntaha.


Perjalanan ajaib dan penuh rahmah ini terjadi semasa Nabi Muhammad S.A.W. dirundung kesedihan, kerana pada tahun kejadian peristiwa Isra’ & Mikraj ini, baginda kehilangan isteri yang tercinta Ummul Mukminin Saidatina Khadijah Binti Khuwailid dan juga bapa saudara yang amat baginda kasihi, Abu Talib Bin Abdul Mutallib.


Peristiwa Isra’ & Mikraj yang terjadi hanya dalam satu malam ini merupakan satu mukjizat kurniaan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai seorang Muslim, penganugerahan istimewa peristiwa Isra’ & Mikraj ini merupakan satu hadiah yang amat istimewa untuk kita semua.


Tidak seperti sambutan Isra’ & Mikraj pada tahun-tahun sebelumnya, tahun ini kita mengenang perjalanan malam Rasulullah S.A.W dalam keadaan berjaga-jaga, akibat dari penularan wabak Virus Covid-19 yang sedang merebak, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.


Sungguhpun tiada sambutan secara rasmi atau majlis ilmu besar-besaran sepertimana yang biasa diadakan seperti dahulu, saya amat berharap agar umat Islam di Malaysia, khususnya di Pahang Darul Makmur tidak membiarkan tarikh peristiwa bersejarah ini berlalu begitu sahaja. Sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab untuk mengenang peristiwa ini dalam pelbagai cara yang bersesuaian mengikut keadaan semasa.


Isra’ & Mikraj yang disambut pada tarih 22 Mac 2020 Masihi (bersamaan 27 Rejab 1441 Hijah) tahun ini hadir pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan telah dikuatkuasakan oleh pemerintah. Kita semua perlu akur dengan arahan ini untuk kebaikkan dan keselamatan bersama. Walaupun larangan ini menghadkan pergerakan kita, pelbagai cara boleh dilakukan di dalam rumah bersama keluarga untuk mengenang peristiwa perjalanan ajaib Rasulullah S.A.W ini.


Para ibu bapa atau penjaga boleh mengambil peluang ini untuk mendidik anak-anak dengan bercerita tentang peristiwa Isra’ & Mikraj ini secara santai kepada anak-anak mereka. Berceritalah mengenai peristiwa kisah Isra’ & Mikraj secara santai, kerana melalui cara ini, ia membolehkan golongan kanak-kanak dan remaja bersama-sama menghayati kisah Rasulullah S.A.W dalam usaha dakwah baginda, sekaligus dapat meningkatkan rasa cinta mereka terhadap Nabi Muhammad S.A.W.


Bagi golongan yang belum berkahwin atau mereka yang tinggal bersama rakan-rakan atau tinggal berjauhan dari kaum keluarga, mungkin mereka boleh mengambil sedikit masa untuk berbual bersama rakan-rakan serumah dan berbicara mengenai peristiwa Isra’ & Mikraj sesama mereka. Dalam kesibukkan membincangkan tentang hal-hal dunia, mungkin boleh diselitkan sedikit kisah-kisah tentang pengorbanan Rasulullah S.A.W untuk mengembangkan syiar Islam kepada seluruh dunia.


Jika ada di antara kita yang tinggal di rumah bersendirian, disamping menonton TV, mendengar lagu-lagu pop terbaru di radio ataupun melayari internet, bagus juga jikalau diselitkan sedikit dengan membaca buku atau menonton dokumentari mengenai Rasulullah S.A.W. Banyak dokumentari-dokumentari menarik mengenai Rasulullah S.A.W yang boleh ditonton secara percuma di laman video Youtube. Walaupun secara santai, cara ini boleh meningkatkan kefahaman kita tentang ketokohan dan pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W yang bukan sahaja dihasilkan oleh para pengkaji Muslim, tetapi juga para sarjana bukan Islam dari barat.


Marilah kita terus mengenang peristiwa Isra’ & Mikraj walaupun di mana sahaja kita berada dan dalam apa jua keadaan sekalipun. Keistimewaan Rasulullah S.A.W dalam menerima kurniaan Allah untuk mengalami perjalanan malam yang sungguh ajaib ini haruslah mendatangkan keinsafan kepada kita semua.


Jadikan sambutan Isra’ & Mikraj pada tahun ini, sebagai satu pedoman, agar kita terus meningkatkan amal, ibadah dan memperbaiki akhlak kita sebagai seorang Muslimin, dalam meniti perjalanan hidup yang penuh pancaroba dan cabaran ini.


SUMBER:  #Pahang1st.  #MajuTerusPahang. #PahangkuMedia

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor