KUANTAN, 31 Mac -- Mulai tengah malam ini, polis Pahang akan
memperketatkan sekatan sempadan negeri dalam menguatkuasakan fasa kedua
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata sekatan
itu bukan hanya melibatkan Jalan Persekutuan namun turut dilakukan di laluan
tikus bagi memastikan orang awam mematuhi PKP.
"Selain itu, kita juga mengadakan 42 sekatan selama 24
jam di seluruh laluan utama dan masuk ke Pahang. Kita juga akan menambah
bilangan pegawai dan anggota terlibat, bergantung kepada keperluan.
"Bukan hanya laluan utama, kita turut mengadakan
pemeriksaan dalam skala kecil di kawasan seperti Felda dan kawasan
kampung," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Derma Darah di
kem Sri Panching di sini, hari ini.
Program anjuran bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut dihadiri Panglima 4 Briged (Mekanize)
Brigadier Jeneral Zaidan Atan dan Komander Pangkalan Udara Kuantan Brigadier
Jeneral Mohd Fadzil Mohd Diah.
Abd Jalil juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam semalam,
pihaknya memeriksa 12,048 kenderaan dan menahan 24 individu kerana melanggar
PKP di seluruh Pahang.
Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata tiga anggota
polis dari Kuantan dan Pekan disahkan positif COVID-19 dan sedang dirawat di
Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, manakala 43 lagi dikuarantin
selepas dirujuk sebagai pesakit dalam siasatan (PUI).
"Mereka yang positif merupakan kontak rapat pesakit
positif COVID-19. Keputusan ujian terhadap anggota PUI dijangka dapat diketahui
dalam beberapa hari lagi," katanya.
Mengulas mengenai program itu, Abd Jalil berkata seramai 87
orang pegawai dan anggota daripada pasukan beruniform negara menderma darah
bagi menampung keperluan tabung darah HTAA yang semakin berkurangan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor