KUALA LUMPUR, 2 Mac – Kerajaan gagasan Muafakat Nasional
yang baharu dibentuk perlu memastikan mereka tidak sesekali mencampuri urusan
mahkamah, misalnya menggugurkan tuduhan kes berprofil tinggi yang melibatkan
anggota parti mereka.
Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata semua
pihak perlu menghormati sistem peraturan perundangan dan pengasingan kuasa di
antara eksekutif, legislatif dan kehakiman dengan tidak mencampur-adukkannya
dengan kepentingan politik.
“Walau bertukar kerajaan, sistem peraturan perundangan tetap
berjalan seperti biasa… maka sebagai pihak eksekutif tidak boleh campur tangan…
kalau kita hormati konsep itu maka tiada kebimbangan.
“Kalau kita campur tangan dengan menarik balik kes mereka
yang didakwa, rakyat akan kata kerajaan tidak hormati undang-undang dan badan
kehakiman tidak bebas, maka jangan sampai konsep itu ternoda,” katanya kepada
Bernama ketika ditemui.
Beliau berkata demikian selepas menjadi panel jemputan
bersama Pengerusi Biro Dasar dan Strategi BERSATU Datuk Dr Rais Hussin dalam
program ‘BERNAMA 7.45’, terbitan Bernama TV, yang bertajuk ‘Hala tuju dan
Cabaran Perdana Menteri ke-8’ di sini malam tadi.
Bagaimanapun beliau berkata sekiranya wujud tuduhan-tuduhan
yang bermotifkan politik yang menyaksikan pemimpin diheret ke mahkamah tanpa
bukti dan asbab kukuh, maka ia perlu dihentikan.
Annuar berkata dalam masa sama terpulang kepada Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada mahu melantik mereka bagi
melengkapkan barisan kabinet mengikut pertimbangan dan kewajaran beliau.
“Kalau lantik atau tidak lantik, jangan hukum, kerana
seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan… maka saya yakin Perdana
Menteri akan menggunakan kebijaksanaan dan pengalaman politik beliau dalam
memilih barisan kabinetnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata tiada tempat di kerajaan
Muafakat Nasional untuk mereka yang rasis dan mahu menjadi hero kepada hanya
satu bangsa tertentu sahaja.
“Meskipun gagasan ini didominasi orang Melayu namun kita
tidak seharusnya hanya melihat kebajikan satu kaum sahaja… kabinet hanya untuk
mereka yang menghargai kemajmukan dan sama-sama mainkan peranan.
“Saya pasti Perdana Menteri akan membariskan wakil rakyat
pelbagai kaum di dalam kabinetnya… Insya-Allah Muhyiddin tidak akan memilih
orang yang mendukung sikap rasis atau cauvinis,” katanya.
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor