KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN),
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Dewan Tertinggi BN hari ini
telah memutuskan beberapa perkara penting yang berkaitan dengan situasi negara
dan politik semasa termasuk melakukan rombakan struktur kepimpinannya.
Katanya, BN melantik Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha
Agung menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai
Bendahari BN sebagaimana sebelumnya. Datuk Sahfri Ab. Aziz menggantikan YB
Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad sebagai Setiausaha Eksekutif BN,”
katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi
BN, di ibu pejabat parti tersebut, hari ini.
Maklumnya, BN juga amat mengambil berat soal keadaan negara
dan rakyat yang dilihat semakin terkesan akibat daripada serangan COVID-19 yang
mula menular di seluruh negara.
“Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat agar senantiasa
peka dan mengikuti perkembangan yang berlaku mengenai virus ini melalui
pemberitahuan yang sah hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Paling penting, BN mengharapkan rakyat tidak panik dengan
wabak ini tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Juga dinasihatkan kepada
seluruh rakyat Malaysia agar tidak mudah mempercayai berita-berita palsu yang
semakin kerap ditularkan melalui internet,” katanya lagi.
SUMBER – UMNO Online

No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor