Pages

Tuesday, February 18, 2020

UNJURAN KDNK MALAYSIA REALITI PH GAGAL MENTADBIR






Realitinya, lebih 20 bulan mentadbir negara, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja ternyata gagal melakar hala tuju ekonomi yang jelas, malah ianya diburukkan dengan prestasi ekonomi yang semakin suram dan kesan langsungnya dirasai oleh rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan kerana itu, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi mestilah tampil segera dengan pakej rangsangan ekonomi yang mampu menyerap kelembapan ekonomi yang melanda sekarang.

“Rakyat di bawah sudah tidak mampu lagi berhadapan dengan keperitan hidup akibat kenaikan kos sara hidup berterusan.

“Sebab itu ramai yang berkata, Guan Eng dan Azmin sudah boleh mula kosongkan pejabat,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Jelasnya, Pengumuman Gabenor Bank Negara Malaysia kadar pertumbuhan sebenar KDNK Malaysia 2019 sebanyak 4.3% berbanding 4.7% tahun 2018 sesuatu yang mengejutkan dan apa yang membimbangkan ialah kadar pertumbuhan pada suku keempat yang berkembang pada kadar 3.6% merupakan antara yang terendah sejak negara dilanda krisis kewangan pada tahun 2009.

“Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, tetap mengatakan pencapaian ini antara yang terbaik berbanding negara serantau.


“Malah Menteri Kewangan masih tegas mempertahankan unjuran KDNK negara pada kadar 4.8% pada tahun 2020. Keadaan ini menunjukkan kedangkalan beliau dalam mengurus hal ehwal kewangan negara.”

Sedangkan katanya, jika ditinjau unjuran firma penarafan antarabangsa Fitch, mereka telah menurunkan unjuran mereka dari 4.5% kepada 3.6%. RHB Bank pula telah menyemak kembali unjuran dari 4.3% kepada 4%, ING Research 4.5% kepada 3.5% dan Ambank dari 4.8% kepada 4%. Ini memperlihatkan ketidakyakinan mereka apabila melihat perubahan yang berlaku akibat pelbagai faktor.



“Dengan perkembangan semasa wabak Coronavirus COVID-19 yang sukar dijangka bila dapat dibendung penyebarannya. Ini akan menyukarkan lagi kebolehcapaian unjuran KDNK pada kadar 4.8% tersebut.”

Jelas beliau, sektor pelancongan dijangka terjejas dan memberi impak yang besar kepada pendapatan negara.

“Tindakan segera penting bagi menghadapi situasi ekonomi tidak menentu sekarang.


“Jadi tidak ada maknanya angka-angka dan petunjuk ekonomi yang dicanangkan oleh Guan Eng sekiranya hidup rakyat masih lagi susah dan terbeban. Apalagi janji-janji palsu tidak ditunaikan?

“Lebih menghairankan kemanakah hasil dan impaknya bilamana aset-aset negara dijual dan pinjaman yang bertambah-tambah setiap bulan? Kemana wang itu pergi?”
Bidas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong, sekiranya keadaan ini berterusan, maka rakyatlah yang akan menjadi mangsa hasil eksperimen pentadbiran
yang lemah dan gagal.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor