KUALA LUMPUR, 23 Feb – Tindakan Peguam Negara Tommy Thomas
Jumaat lalu telah membuka ruang yang mempersoalkan kewibawaan pelbagai
institusi keselamatan dan perundangan, ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, yang lebih membimbangkan ialah kesannya kepada
strategi pembanterasan keganasan di Malaysia.
“Kepentingan hak asasi dihormati adalah penting dalam
memerangi keganasan tetapi ia mesti diimbangi dengan kepentingan keselamatan
nasional secara kolektif,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Tommy dalam satu kenyataan pada Jumaat, 21 Feb. mengumumkan
pembebasan 12 tertuduh di bawah kesalahan menyokong kumpulan pengganas Harimau
Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) berkuat kuasa serta-merta dengan alasannya ialah
“tiada prospek yang realistik untuk mensabitkan tertuduh dengan kesalahan.”
Justeru tegas Khaled, keputusan Tommy itu menimbulkan
beberapa persoalan dan implikasi yang memerlukan penjelasan terperinci kerajaan
Pakatan Harapan (PH).
“Keputusan ini dibuat setelah kesemua 12 suspek telah pun
ditangkap, didakwa dan dipenjarakan tanpa jaminan untuk beberapa bulan.
“Malah pihak pendakwaan bersungguh-sungguh menentang
permohonan jaminan atas dasar kepentingan keselamatan negara.
“Semua ini menimbulkan rasa sangsi masyarakat terhadap
kewibawaan proses pendakwaan jika tahap pensabitan adalah diragui akhirnya,”
katanya.
Tambahnya lagi, keputusan tersebut memerlukan kerajaan
mengkaji semula dasar pembanterasan keganasan di negara ini.
“Menyimpan kerana mengidolakan dan menyimpan kerana
menyokong apa jua material berkaitan dengan individu, ideologi atau pergerakan
pengganas adalah kesalahan yang disepakati oleh masyarakat keselamatan global.
“Ia telah dijadikan undang-undang di pelbagai negara
termasuk Malaysia dengan tujuan pembanterasan dan pencegahan apa jua elemen
yang boleh menjurus kepada radikalisasi.
“Keputusan Tommy ini jelas bercanggah dengan konsesus global
dalam menangani radikalisme dan dasar anti keganasan,” bidasnya.
Jelas Khaled lagi, keputusan itu jelas telah merendahkan
wibawa dan kompetensi institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“PDRM telah secara konsisten menegaskan bahawa tangkapan
suspek pengganas LTTE dibuat berdasarkan bukti-bukti yang mencukupi berdasarkan
risikan yang lama dan menyeluruh.
“Malah, pertuduhan terhadap suspek juga telah dibuat dan
dilakukan oleh pihak Pejabat Peguam Negara sendiri.
“Rasional apakah yang boleh ditawarkan oleh Peguam Negara
dalam menyelamatkan wibawa dan kompetensi siasatan Polis dan tindakan pegawai
pendakwaan yang jelas selari dengan peruntukan undang-undang,” soalnya.
Seterusnya soal Khaled lagi, adakah kes tersebut akan
menjadi permulaan bagi semakan semula semua kes-kes lain yang diletakkan di
bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Bagaimana pula pendakwaan dan pensabitan yang dikenakan ke
atas pelbagai individu lain yang menyokong dan mempromosi kumpulan pengganas
lain seperti The Islamic State (IS) dan Jemaah Islamiyyah sebelum ini.
“Tindakan terbaru Peguam Negara mewajarkan semua kes
tersebut disemak dan digugurkan juga di atas sebab “tiada prospek realistik”
untuk mensabitkan mereka hanya kerana mereka “mempunyai gambar dan barangan
orang yang mereka kagumi”,” katanya.
Terangnya lagi, walaupun Seksyen 66(b)(9) AMLA
memperuntukkan kajian semula setiap 6 bulan oleh Menteri bagi pengisytiharan
sesuatu entiti sebagai kumpulan pengganas, setakat ini LTTE masih lagi di dalam
senarai organisasi kumpulan pengganas di bawah undang-undang Malaysia.
“Maka ia adalah kumpulan pengganas dan kedudukan ini tidak
berubah sehingga pindaan dilakukan.
“Saranan Tommy yang menyeru Menteri Dalam Negeri untuk
menyemak semula perintah yang membabitkan kumpulan LTTE sebagai kumpulan
pengganas yang telah digazetkan pada November 2014 dalam AMLA tidak boleh
dilaksanakan sehingga satu dasar ‘Proscription’ yang jelas digubal,” tegasnya
lagi.
SUMBER – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor