KUANTAN - Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam
Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan
pelajar universiti untuk menjauhi sindrom 3K iaitu kuliah-kafeteria-katil
semasa menuntut ilmu.
Baginda bertitah pelajar universiti juga perlu mempunyai
kesedaran untuk melengkapkan diri dengan kemahiran lain dan tidak lagi
bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik cemerlang untuk meningkatkan
kebolehpasaran mereka.
"Saya menyeru kepada adik sekalian untuk meningkatkan
kemahiran seperti kepimpinan, pengucapan awam, kemahiran berfikir secara kritis
dan kreatif serta membina keyakinan diri yang amat diperlukan untuk memasuki
alam pekerjaan.
"Dalam masa sama, jangan lupa adab dan budi budi bahasa
kita...berbaik-baik sesama sendiri dan jangan lupa untuk rajin belajar. Jika
masuk ke universiti tetapi malas, buat apa kita berada di sini? Sentiasa
berfikiran positif dan buatlah ibu bapa bangga," titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah demikian semasa melancarkan Program
Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Kampus Gambang di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan
Ismail dan Naib Canselor UMP Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.
Baginda juga merakamkan tahniah kepada pengurusan dan
pentadbiran UMP atas kejayaan yang dicapai sebelum ini dan berharap mereka
terus komited dalam memajukan universiti dengan penuh amanah demi pendidikan
generasi masa depan negara.
"Jatuh bangun negara kita terletak pada belia masa kini
dan kerajaan bertanggungjawab memastikan semua universiti dan institusi
pengajian tinggi mempunyai infrastruktur terbaik termasuk dalam aspek tenaga
pengajar supaya proses pembelajaran dan penyelidikan berjalan dengan
cekap," titah baginda.
Tengku Hassanal juga menitahkan supaya pihak yang terlibat
untuk memberi fokus kepada kebolehpasaran graduan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi
Pengajian Tinggi Awam Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin berkata program
dua hari mulai hari ini, disertai 100 pempamer termasuk 20 universiti awam,
intitusi pengajian tinggi swasta, politeknik, kolej komuniti dan Institusi
Latihan Kemahiran Awam.
"Program kali ini juga disertai pihak matrikulasi dan
Institut Pendidikan Guru (IPGM) dan pelajar yang menunggu keputusan peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
dan setara boleh mendapatkan maklumat berhubung kursus diminati. Penjualan
nombor pin unik ID UPU akan bermula pada 24 Februari ini," katanya.
Wahi berkata, program itu yang telah dilaksanakan di Johor
sebelum ini, akan dianjurkan di beberapa buah lagi negeri sebelum berakhir di
Serdang, Selangor pada 28 Mac ini.
SUMBER - Bernama
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor