Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan
kekecewaan atas keputusan yang dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
selaku Menteri Pendidikan yang mahu mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Menurut beliau ianya merupakan satu keputusan yang tidak
mengambil kira pelbagai faktor termasuk lapisan masyarakat terutamanya pelajar
luar bandar.
“Ketika PPSMI dijalankan pada 2003 hingga 2010, sebanyak 80%
kemerosotan pembelajaran di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah hingga
kerajaan terpaksa membatalkannya pada tahun 2011. Pelajar luar bandar
terutamanya pelajar dari kaum Orang Asli menghadapi kesukaran yang besar dari
pelaksanaan PPSMI, kerana keterbatasan penggunaan Bahasa Inggeris dalam
kehidupan harian mereka.
“Kerajaan perlu mengkaji kemampuan guru di sekolah
kebangsaan dan menengah kebangsaan menguasai Bahasa Inggeris sebelum mengajar Matematik
dan Sains terutamanya di luar bandar. Dahulu terdapat satu isu yang besar iaitu
ketidakmampuan guru di luar bandar mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa
Inggeris serta faktor-faktor kekurangan infra dan peralatan pembelajaran,”
katanya menerusi kenyataan di facebook.
Ismail yang juga Naib Presiden UMNO seterusnya menambah
sepatutnya kerajaan menyediakan guru yang berkemahiran dan berkemampuan
berbahasa Inggeris terlebih dahulu serta penyediaan infra dan peralatan sebelum
mengumumkan perlaksanaanya.
Tambahnya alasan bahawa negara tidak maju dan pelajar tidak
mampu bersaing jika pembelajaran Matematik dan Sains diteruskan dalam Bahasa
Melayu adalah alasan yang amat dangkal dan kini pelajar-pelajar cemerlang sama
ada dalam atau luar negara adalah mereka yang mendapat pendidikan subjek
Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu.
“Syarat untuk menjadi negara maju bukan disebabkan Bahasa
Inggeris semata-mata kerana negara yang berjaya dalam bidang yang ada kaitan
dengan Matematik dan Sains bukan negara berbahasa Inggeris iaitu seperti negara
Jepun, Korea Selatan, China, German, Perancis, Itali dan lain-lain.
“Negara-negara ini tetap menggunakan bahasa ibunda mereka
namun berjaya di dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan subjek Matematik dan
Sains. Malah negara kita juga ada menghantar pelajar-pelajar cemerlang ke
negara bukan berbahasa Inggeris seperti yang saya sebutkan di atas.
“Sebagai contoh, jika kita menghantar pelajar kita ke Jepun,
walaupun di negara kita mengajar di dalam Bahasa Inggeris namun pelajar kita
terpaksa mengikuti kursus Bahasa Jepun dan belajar di Jepun di dalam bahasa
Jepun. Maka, apa maknanya jika pelajar kita belajar di dalam Bahasa Inggeris di
Malaysia, tetapi akhirnya apabila ke luar negara, pelajar kita perlu mengikuti
kursus bahasa ibunda negara tersebut,” ujarnya.
Ujarnya lagi, secara peribadi jika mahu pelajar menguasai
Bahasa Inggeris, maka silibus Bahasa Inggeris tersebut yang perlu ditambah baik
dari segi cara pembelajaran, menambahkan waktu belajar atau perkara-perkara
lain yang difikir terbaik.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mengkaji dahulu
pelaksanaan ini sebelum memulakan, dengan mengambil kira data kemerosatan serta
kepeluan pelajar luar bandar yang mempunyai sumber pembelajaran Bahasa Inggeris
yang terhad.
“Janganlah pula kerana mengejar untuk pemerkasaan kumpulan
elit, anak luar bandar dilupakan.Inilah kerajaan yang seringkali mengabaikan
kumpulan luar bandar dan gagal melakukan dasar serta keputusan yang adil dan
setara untuk masyarakat luar bandar.
“Saya harap Perdana Menteri mengkaji semula dan menggugurkan
cadangan beliau untuk pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam
Bahasa Inggeris.Cukup-cukup lah memperjudikan masa depan anak-anak luar
bandar,” tambahnya.
Sumber
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor