Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan apa yang telah berlaku kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak negara ini ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sedangkan sebelum ini tegas Dr Wee, PERKESO dilihat beroperasi dengan begitu baik.
“Pada tahun 2017 misalnya, iaitu sebelum PH ambil alih pucuk pemerintahan, PERKESO telah membuat bayaran faedah sebanyak RM3.2 bilion kepada penerima yang layak, meningkat daripada RM2.9 bilion pada 2016. (pautan)
“Sekian lama PERKESO sanggup bayar demi kebajikan warga pekerja dan kenapa tiba-tiba kebajikan pencarum diabaikan begitu sahaja di bawah Malaysia Baharu?
“Apakah PERKESO kini hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata? Sudah lupa objektif sebenar PERKESO? Sudah lupa bahawa berdirinya PERKESO hari ini adalah hasil sumbangan puluhan juta pencarum setiap bulan? Soalnya yang amat terkilan dan sedih dengan jawapan daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya John Riba Marin yang dilihat sudah hilang sifat penyayang dan tidak berperikemanusiaan. (pautan)
Ulasnya lagi dalam satu kenyataan, mungkin ramai yang membayangkan bahawa arahan PERKESO bagi mengenakan syarat baru menafikan pencarum daripada rawatan dialisis percuma, akan diteliti atau ditarik balik tetapi sebaliknya berlaku berdasarkan respon PERKESO tersebut.
Soal Ahli Parlimen Ayer Hitam itu lagi, adakah PERKESO sedar bahawa mereka yang pernah mencarum PERKESO terpaksa menjalankan rawatan serta-merta apabila mereka disahkan menghidap penyakit buah pinggang.
“Sekiranya mereka tidak mampu, maka pencarum PERKESO itu akan mati akibat kekangan dana!
“Kalau PERKESO minta badan lain pula menanggung kos rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang yang merupakan pencarum, saya anggap ianya satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab,” bidasnya.
Dr Wee juga merujuk Laporan Tahunan PERKESO 2017.
“Mana mungkin 16,321 orang pencarum PERKESO yang menjalankan rawatan dialisis yang menelan perbelanjaan RM215.81 juta (setakat 31 Dis 2017) akan memufliskan PERKESO? Ianya sekadar 9.14% daripada jumlah bayaran faedah kepada pencarum.
“Takkan golongan profesional PERKESO tidak dapat mencari kaedah lain untuk menambah sumber kewangan PERKESO melalui pelaburan strategik yang membawa keuntungan? Tanyanya lagi.
Seterusnya, Dr Wee juga menggesa agar mana-mana ahli Lembaga Pengarah dan golongan profesional dalam PERKESO yang begitu prihatin tentang keuntungan supaya segera berundur dan menyertai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memperolehi keuntungan besar dalam operasi perniagaannya.
Dalam kes yang berkaitan, Dr Wee turut menempelak Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran yang masih membisu.
“Oh ya. Sehingga hari ini, Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran tidak membuat sebarang komen tentang isu ini. Kenapa Menteri berdiam diri?
“Sila baca Infografik Pendapatan dan Perbelanjaan PERKESO setakat 31 Disember 2017, jelas menunjukkan bahawa pendapatan lebih daripada perbelanjaan. Apa maksudnya?
“Mana mungkin PERKESO muflis dan mengalami kerugian besar dalam Penyata Kewangannya? Mengarut saja! Selarnya lagi.
Dr Wee juga mendedahkan PERKESO baru sahaja membelanjakan RM500 juta untuk membina sebuah Pusat Rehabilitasi yang canggih di kawasan Parlimen menteri iaitu di Ipoh Barat.
“Kenapa misi menyelamatkan pencarum yang menghidap penyakit buah pinggang dipandang remeh?
“Menteri Sumber Manusia jangan membisu lagi,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor