Pages

Monday, July 15, 2019

AKTA HASUTAN KEKAL RELEVAN TAPI PEMIMPIN PH MAKIN AGRESIF NAK MANSUH





Sejak kes seorang pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin agresif untuk memansuhkan Akta Hasutan, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

Sedangkan tegas beliau, Akta Hasutan kekal relevan sebagai satu set undang-undang untuk mengawal keharmonian dan keamanan Malaysia.

“Akta Hasutan merupakan undang-undang yang paling penting dan signifikan dalam memastikan kestabilan politik serta memelihara keharmonian negara yang berbilang kaum ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.




Katanya, Akta ini juga berperanan sebagai pelindung kepada tiang seri Perlembagaan Persekutuan supaya semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menghormati setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Sejak kes Wan Ji, ramai pemimpin PH misalnya, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mendesak kerajaan memansuhkan akta ini dengan segera. Sama seperti Dap yang tetap dengan pendirian mahu Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

“Pemansuhan Akta Hasutan akan membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada gerakan sivil yang radikal dan liberal dalam memperjuangkan agenda mereka.”

Terang beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, walaupun Akta Hasutan masih wujud, terdapat segelintir NGO dan kumpulan berkepentingan yang begitu agresif dalam meletakkan pelbagai tuntutan yang bercanggah dengan norma dan budaya masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu Islam.

“Ketiadaan Akta Hasutan akan memberi peluang kepada gerakan pluralisme agama, pendukung liberal, penyokong LGBT dan pelbagai lagi menggunakan ruang demokrasi tanpa sebarang sekatan dan had dalam memperjuangkan kepentingan mereka.

“Tindakan mereka ini akan menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu.”

Sehubungan itu katanya, pemimpin PH haruslah melihat Akta Hasutan dengan skop yang lebih luas dan peranannya dalam melindungi keharmonian negara.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor