Pengorbanan dan ketabahan dua beradik di Kampung Baru Lebak di sini yang menjaga enam adik-beradik yang mengalami masalah mental selepas ibu bapa meninggal dunia beberapa tahun lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Kisah Muslaili Musa, 36, dan Haslina Musa, 35, serta adik-beradik mereka Mustafa, 54, Mustajudin, 53, Musnani, 45, Musalmah, 43, Muzlan, 42, dan Mohd Muslim, 41, disiarkan oleh Sinar Harian pada 15 Mei lalu.
Haslina berkata, dia bersyukur di atas keprihatinan dan bantuan yang disalurkan kepada mereka sekeluarga.
“Terima kasih kepada semua mereka yang prihatin dengan nasib kami adik-beradik dengan pelbagai sumbangan barangan keperluan dan wang tunai. “Syukur dan kami amat hargai sumbangan diberikan. Saya pun dapat sediakan semua baju raya untuk mereka.
“Malah dapat belikan televisyen baru sebab yang lama sudah lama rosak. Mereka merayu sebab bosan dah lama tak tengok pelbagai program di televisyen,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Exco Pelancongan Alam Sekitar, Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin kelmarin.
Turut serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Aminuddin Md Amin.
Mohd Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan. Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat dengan keluarga itu yang juga pernah dibantu sebelum ini.
“Dari semasa ke semasa kita sentiasa memantau sebarang perkembangan keluarga ini selain mengharapkan kerjasama pemimpin setempat dan penduduk kampung.
“Kita juga akan memohon untuk mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana difahamkan dua daripada enam beradik itu tidak mendapat bantuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor