Pages

Tuesday, April 2, 2019

RAKYAT RANTAU JANGAN PERSIAKAN JASA, BAKTI DAN KEPAKARAN TOK MAT HASAN MENGURUS TADBIR NEGERI






Adalah menjadi satu kerugian besar kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau jika tidak memilih Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat mereka, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ini kerana katanya, bukan sekadar jasanya dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat bahkan kehebatan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dalam mengurus tadbir serta membangunkan negeri tidak seharusnya dipersiakan.

“Kita nak bagi menang Tok Mat Hasan pada 13 haribulan ini bukan setakat nak jadi wakil rakyat tetapi nak jadi ketua pembangkang, InsyaAllah akan jadi menteri besar semula sebab sebagai ketua pembangkang, sebagai bekas menteri besar Tok Mat Hasan ada kebolehan dan kepakaran untuk menegur, membimbing, mendidik, tunjuk ajar kepada Pakatan Harapan yang tak reti mentadbir.

“Tok Mat Hasan ada kebolehan, kepakaran, pengalaman… bagaimana dia berucap sebagai ketua pembangkang di dalam dewan, terpempan, terkedu menteri besar dan exco mendengar… rugi kalau orang sini tidak pilih dia,” ujarnya lagi dalam ceramah isu-isu semasa sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau di Taman Angsamas, di sini, malam tadi.

Turut hadir, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Ir Idris Haron yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan kepimpinan UMNO pelbagai peringkat.

Justeru jelas ADUN Kota Tampan itu juga menjadi kesilapan jika pengundi tidak memilih Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan bagi mewakili mereka sekali lagi.

“Jadi, orang Rantau ini silap banyak jika tidak pilih Tok Mat. Sebab apa? Sebab Tok Mat telah berkhidmat dengan orang kawasan ini lebih daripada satu penggal, 2004 penggal pertama, 2008 penggal kedua, 2013 penggal ketiga.

“Tok Mat telah berkhidmat kepada kita, dia bantu bangunkan kawasan kita. Bukan salah Tok Mat sehingga terpaksa ada pilihan raya semula, ini salah SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), SPR yang silap tak bagi Streram masuk ke dewan, bawa ke mahkamah, mahkamah kata kena buat pilihan raya semula.

“Tok Mat Hasan bekas Menteri Besar, Tok Mat Hasan telah tunjukkan kehebatan dia, kepakaran dia, ilmu pentadbirannya. Bahkan menjadi ketua pembangkang pun hebat… Maka, Tok Mat perlu dipilih semula untuk menjadi ketua pembangkang,” katanya lagi.

Saarani yang juga Ketua Pembangkang di DUN Perak memberi ingatan bahawa kemenangan Tok Mat Hasan tidak dikira berdasarkan berapa ramai pengundi yang hadir memenuhi setiap ceramah-ceramah yang parti anjurkan tetapi ianya diukur berdasarkan berapa banyak kertas undi yang diperolehi oleh beliau.

“Jangan pula kita sebut di merata tempat oleh kerana ramai penyokong Barisan Nasional yang hadir dengar ceramah, kita rasa dah menang. Harus diingat kemenangan pilihan raya kecil ini pada 13 April nanti akan ditentukan oleh bilangan kertas undi Barisan Nasional dalam tong undi.

“Pastikan setiap orang daripada kita yang namanya ada dalam senarai daftar pemilih, 13 April nanti datang awal ke tempat mengundi dan menurunkan undi kepada calon nombor satu Tok Mat,” sarannya lagi.

Saarani turut menyeru rakyat menolak kerajaan PH yang terbukti sekarang ini berada dalam keadaan caca-merba, tiada hala tuju yang jelas dalam mentadbir negara, ditambah pula dengan pemimpin-pemimpinnya yang sering membuat kenyataan-kenyataan bercelaru dan banyak dipersoalkan berkaitan integriti.

“Kita tidak boleh bergantung harap kepada Pakatan Harapan. Apa perkara baru yang dia bawa dalam negara Malaysia ini?,” soalnya.

Idea menanam buluh bagi mengantikan kelapa sawit, menggesa penoreh menoreh getah di musim hujan dan berkempen kepada rakyat supya meminum minyak sawit sehari sesudu adalah contoh popular kecelaruan pemikiran pemimpin-pemimpin PH, sinisnya lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor