Pages

Monday, April 15, 2019

MAKNA DI SEBALIK HATRIK BN






Datuk Seri Mohamad Hasan memilih hanya untuk meletakkan nama ‘Tok Mat’ dan bukan nama penuhnya di kertas undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, semalam.

Beliau yakin mereka yang datang mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut cukup mengenali panggilan yang sinonim dengan dirinya itu. Strategi itu berhasil, Mohamad kekal sebagai wakil rakyat Rantau sejak kali pertama memenangi kerusi itu pada tahun 2004.

Populariti dalam kalangan penduduk tempatan menjadi salah satu faktor kemenangannya yang telah dijangka sejak awal lagi. Pakatan Harapan (PH) mengambil mudah faktor ‘Tok Mat’ itu dan keputusan meletakkan pakar bius, Dr. S. Streram terbukti silap.

Sebahagian besar pengundi terutama orang Melayu yang mewakili 52 peratus daripada 20,804 pemilih berdaftar di Rantau tidak mengenali Streram yang dilahirkan di Johor.

Cubaan menyerang isu peribadi Mohamad termasuk membangkitkan soal harta dan rumah bagi menutup kekurangan calon PH juga tidak berhasil. Serangan pada saat-saat akhir kempen gagal menghakis keyakinan pengundi terhadap sumbangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Timbalan Presiden UMNO itu mendapat 10,397 undi mengatasi Streram (5,887) dengan majoriti 4,510 undi. Dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi mendapat 83 undi, manakala Mohd. Nor Yassin 79 undi.

Kekalahan PH di Rantau yang merupakan kegagalan kali ketiga berturut-turut selepas Cameron Highlands dan Semenyih, mengesahkan bahawa rakyat tidak puas hati dengan prestasi kerajaan sedia ada.

Rakyat sudah membuat ‘U-turn’, kalau semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mereka menyokong PH dan menentang BN, kini ia sudah berubah. Rasa kecewa dengan janji-janji yang tidak ditunaikan dan sikap pemimpin kerajaan diterjemahkan di kertas undi.

Di Cameron Highlands, trend menolak PH mula kelihatan dan semakin jelas di Semenyih. Di Rantau ia semakin ketara apabila BN menang di 13 daripada 14 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN tersebut. Malah, dalam pengundian awal melibatkan anggota keselamatan dan keluarga, BN memperoleh 95 peratus undi.

Pengundi muda juga terus menunjukkan sokongan kepada BN dan Mohamad menang semua saluran golongan yang dikatakan paling lantang memprotes pentadbiran kerajaan ketika ini.

Selain itu, kemenangan beliau juga menunjukkan sudah wujud keyakinan rakyat terhadap kerjasama antara BN khususnya UMNO dengan satu lagi parti Melayu Islam terbesar, Pas.

Walaupun PH cuba memainkan isu kemungkinan kaum bukan Melayu diabaikan jika gabungan pembangkang menang, kebanyakan pengundi di Rantau tidak termakan dengan dakwaan seumpama itu.

BN menang di PDM Pekan Sagga yang lebih 60 peratus pengundi terdiri daripada kaum India, begitu juga di Linsum. BN juga menang di PDM Angsamas, Kampung Mambau, Rantau dan Kuala Sawah yang tidak mengundi calon BN, Khairy Jamaluddin di peringkat Parlimen dalam PRU-14, Mei tahun lalu.

Kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkongsi pentas dengan Mohamad dalam ceramah perdana BN di Taman Angsamas dua hari sebelum pengundian, memberi lonjakan besar kepada kerjasama kedua-dua pihak.

Jentera Pas buat pertama kali bekerja rapat dengan UMNO dalam kempen PRK, selain berupaya mendekati parti komponen lain dalam BN khususnya MCA yang sebelum ini dilihat ragu-ragu dengan parti itu.

Lebih penting lagi, kemenangan di Rantau hampir pasti membuka jalan kepada persefahaman rasmi Pas dan UMNO yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

PRK DUN Rantau bukan tentang kemenangan Mohamad semata-mata. Ia membawa makna besar dalam pembentukan gabungan pembangkang berwibawa ketika PH yang walaupun nampaknya tenang, tetapi dikatakan ‘bergelora’.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor