Pages

Tuesday, April 30, 2019

ISLAM DIBULI, TIDAK SELAMAT DI BAWAH KERAJAAN PH – MUFTI PERLIS




ARAU – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan realiti politik pada masa ini yang membiarkan umat Islam dibuli telah menyebabkan rakyat akur bahawa agama Islam berada dalam keadaan tidak begitu selamat di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.


Luahan kekecewaan Mohd. Asri itu susulan selepas rakannya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia, Muhammad Zamri Vinoth ditahan serta direman kerana didakwa menghina agama Hindu.


Katanya, jika dilihat, pelbagai kenyataan yang dibuat oleh individu-individu di dalam kerajaan yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum namun mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan.


Malah kata beliau, betapa ramai lagi yang menghina Nabi Muhamad SAW dan mempersendakan ajaran Islam juga hanya melalui proses sama.


“Tapi, ceramah dalam masjid untuk umat Islam sahaja di Kelantan oleh seorang individu yang menceritakan pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam (Muhammad Zamri) telah menyebabkan beliau ditangkap.


“Apakah fakta beliau (Muhammad Zamri) palsu?, apakah beliau menghina atau sekadar menceritakan tentang kisah dirinya sendiri?


“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti mana kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan tragedi antara kuil dan pihak bomba (Subang Jaya). Tidak pula mereka ini ditangkap.


“Bagaimana pula dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.


Semalam, Muhammad Zamri yang juga pembantu pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di sini berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.


Muhammad Zamri didakwa membuat kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap agama Hindu dalam satu video tular di laman sosial.


Tambah Mohd. Asri, Muhammad Zamri selama ini telah membuat banyak program membantu membina hubungan baik antara agama termasuk menziarahi gereja, tokong dan pelbagai dialog harmoni dianjurkannya di bawah One Centre Malaysia negeri.


“Ucapan beliau itu hanyalah sedikit daripada pengalaman dirinya sahaja sebelum menganut Islam (jika) dibandingkan usaha beliau untuk membina hubungan antara agama.


“Saya tidak menyalahkan pihak polis, tetapi ini berlaku kerana realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli. Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini melainkan sejumlah kecil. Apakah ini suatu keadilan?.


“Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini,” katanya.-

SUMBER:  UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor