Dato' Seri Mohamad Hasan secara rasmi mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas menang kerusi DUN Rantau, hari ini.
Mohamad, 62, yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, 64, dengan majoriti 4,510 undi.
Kemenangan Mohamad atau sinonim dengan panggilan Tok Mat menidakkan hasrat dua calon bebas iaitu Mohd Nor Yassin, 67, dan R Malarvizhi, 51.
Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Dr Streram 5,887 undi.
Manakala Mohd Nor dan Malarvizhi masing-masing hanya mendapat 79 dan 83 undi.
Keputusan rasmi dipaparkan di skrin layar Pusat Penjumlahan Undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau Mohd Nizam Tajul Arus akan mengumumkan keputusan rasmi bila-bila masa.
PRK DUN Rantau membabitkan 20,793 pengundi dengan 14 pusat pengundian menerusi 53 saluran.
Penguasaan BN di Rantau sekali gus mencipta 'hatrik' selepas memenangi PRK Parlimen Cameron Highland dan DUN Semenyih baru-baru ini.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohamad yang juga Pemangku Presiden UMNO menang tanpa bertanding selepas Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 5 Mei 2018.
Dr Streram merangkap Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau kemudian memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 untuk membatalkan keputusan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR).
Pada 29 November 2018, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan kemenangannya itu yang dibatalkan.
Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menolak petisyen difailkan Tok Mat untuk mengetepikan keputusan sebelum itu dan mengisytiharkan kemenangan pemangku Presiden UMNO terbatal dan tidak sah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor