Tanah Rata, 22.1.2019: Seramai 247 pengundi
awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang terdiri
daripada anggota polis dijangka keluar mengundi hari ini di dua pusat
pengundian yang dibuka tepat pukul 8 pagi ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Azhar Azizan Harun berkata daripada jumlah itu seramai 232 orang mengundi di
bilik maklumat, Balai Polis Berinchang di sini bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Tanah Rata yang dibuka sehingga pukul 5 petang ini.
Sementara itu, bagi DUN Jelai seramai 15
lagi pengundi awal akan mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Sungai Koyan
sebelum pusat pengundian itu ditutup pada pukul 2 petang.
Proses pengundian awal akan disaksikan oleh
ejen-ejen calon bertanding selain pemerhati Pilihan Raya daripada wakil-wakil
organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.
Selepas selesai proses pengundian peti-peti
undi awal akan disimpan di balai polis sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi
berkelompok di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di
sini untuk penjumlahan rasmi pada hari pengundian 26 Jan ini.
Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang
layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385
pengundi kurang upaya.
PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini bakal
menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH),
M.Manogaran, Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas
iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib serta
Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.
Pilihan raya itu diadakan selepas Mahkamah
Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh
daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, terbatal dan
tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di
kawasan itu.
PRK ini adalah yang kelima setelah Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tiga pilihan raya sebelum ini adalah melibatkan
DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port
Dickson.
Sumber.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor