Putrajaya, 18.1.2019: Pengerusi Suruhanjaya
Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan.
Beliau berkata hari penamaan calon PRK itu
pula ditetapkan pada 16 Feb, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14
hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 1 Mac 2019,”
katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai urusan PRK
tersebut hari ini.
Azhar berkata daftar pemilih yang akan
digunakan untuk PRK itu adalah sehingga suku ketiga 2018 yang akan mula dijual
pada 12 Feb.
Katanya daftar pemilih itu mengandungi
54,503 orang pemilih berdaftar, terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951
pengundi awal dan 32 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Azhar berkata SPR menyasarkan 70 peratus
pengundi akan keluar mengundi pada PRK DUN Semenyih.
Bagi menjalankan proses pilihan raya kecil
ini, katanya, SPR bersetuju melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang,
Datuk Mohd Sayuthi Bakar sebagai pegawai pengurus pilihan raya serta 992
petugas pilihan raya.
Beliau berkata SPR akan menggunakan Dewan
Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian sebagai pusat penamaan
calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
Selain itu, katanya, sebuah pusat mengundi
baharu diwujudkan menjadikan keseluruhan 26 buah pusat mengundi pada PRK itu
serta menambah 31 saluran baharu bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai
di satu-satu saluran menjadikan keseluruhan 119 saluran.
“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan
sebanyak RM1.8 juta,” katanya.
Seperti mana yang dilaksanakan pada PRK
Parlimen Cameron Highlands, Azhar berkata SPR akan turut menyiarkan proses PRK
DUN Semenyih secara langsung di laman Facebook SPR, antaranya proses penamaan
calon, pengundian awal, semakan isi peti undi, pengundian, pengiraan undi dan
pengumuman keputusan pilihan raya.
PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan
selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) dengan yang pertama diadakan di DUN
Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen
Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).
PRK DUN Semenyih diadakan berikutan
kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Jan lepas akibat serangan
jantung.
Sumber.
Sumber.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor