Kuantan, 17.1.2019 : “ Kalau adapun hutang
Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, nilainya sepatutnya adalah kurang,
cuma RM760 juta yang mana jauh kurangnya daripada RM3.1 billion yang
diuar-uarkan secara negatif oleh Menteri Kewangan tersebut.”
“Seperti memutarkan semula ‘piring hitam
lama’, Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng pada ceramah politiknya di
Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1 malam tadi, telah mengungkit kembali soal
hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya bukan lagi
isu ekoran penyelesaian yang telah tercapai.”
“Pada 6 Julai lepas bekas Setiausaha
Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail telah menyatakan
penyelesaiannya iaitu RM2.2 billion
adalah untuk bayaran berkaitan dengan bekalan air akan terlupus dan menjadi geran apabila berlakunya
penstrukturan bekalan air seluruh negara yang sedang rancak dilaksanakan
sekarang”, kata Menteri Besar Pahang,
Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Facebook beliau.
“Dan, satu dasar telahpun dibuat oleh
Kerajaan Persekutun; apabila kita strukturkan semula bekalan air di negeri
Pahang ini maka secara otomatiknya, RM2.2 billion tadi akan dilupuskan bukan
sebagai hutang”
“Jadi kita dalam proses sekarang ini,
menstrukturkan pengurusan PAIP ini. Kita punyai agensi yang berkaitan dengan
air ini ialah PAIP – Pengurusan Air Pahang Bhd. So bila kita strukturkan semula
esok, semua ini akan dijadikan geran”
“Jadi, RM2.2 billion hutang tadi, habis.
Tinggal RM1 billion lagi,” Dan baki hutang RM1 billion itupun menurutnya, ialah
yang berkaitan dengan perkara-perkara asas demi kesejahteraan rakyat seperti
bagi pembinaan rumah kos rendah dan perbelanjaan sebagai bantuan mangsa-mangsa
banjir tahun 2014, serta kos penganjuran SUKMA XV Pahang 2012,” kata beliau.
Kenyataam Menteri Besar turut menerangkan kos
penganjuran SUKMA XV Pahang 2012 dengan kerja-kerja membina baharu dan menaik
taraf kemudahan-kemudahan sukan, melibatkan kira-kira RM200 juta manakala bagi
bantuan mangsa-mangsa banjir ialah kira-kira RM40 juta.
Hutang-hutang ini sepatutnya dianggap
sebagai geran memandangkan ia turut mempunyai kepentingan nasional sepertimana
penganjuran SUKMA XV Pahang 2012 tersebut.
Kerajaan Negeri kini ada caranya untuk
menambahkan hasil negeri yang daripadanya boleh digunakan untuk membayar hutang
berkenaan.Antaranya ialah, dengan meminta Tenaga
Nasional Bhd (TNB) misalnya, membayar Kerajaan Negeri atas jumlah air yang
digunakan oleh stesen-stesen janakuasa hidro bagi menghasilkan elektrik.
Dengan hasil tambahan ini, akan dapat
mengukuhkan lagi kewangan negeri yang saban tahun menerima hasil kira-kira
RM700 juta daripada sumber-susumber tradisional seperti tanah dan hutan.
Walau apapun status atau nilai yang
Kerajaan Negeri berhutang dengan Kerajaan Persekutuan, Menteri Kewangan Encik
Lim Guan Eng tentunya sedar akan pertanggungjawaban Kerajaan Persekutuan ke
atas Kerajaan Negeri.
Pertanggungjawapan ini pula melibatkan
Kerajaan Persekutuan, dengan hasil yang dijangkakan di bawah Belanjawan 2019
kira-kira RM261.8 billion, berbanding hasil yang dijangkakan di bawah Bajet
Negeri Pahang 2019 kira-kira RM703.80 juta sahaja.
Atau dalam ertikata lain, hasil yang
dijangkakan diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2019 ini ialah
kira-kira 372 kali ganda lebih besar daripada hasil yang dijangka diperolehi
oleh Pahang pada tahun ini.
Hasil-hasil yang dikutip oleh Kerajaan
Pesekutuan pula tentulah besar kerana ia diperolehi meliputi ke seluruh negara,
yang melampaui sempadan sesebuah negeri.
Ini sememangnya selaras dengan bidangkuasa
Kerajaan Persekutuan yang lebih luas sepertimana termaktub di bawah Senarai
Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan.
Terdapat 25 perkara dalam Senarai
Persekutuan itu, antara lainnya meliputi hal-hal berkaitan pertahanan, hal-hal
luar negeri, keselamatan dalam negeri, kewarganegaraan serta perdagangan,
perniagaan dan industri.
Di bawah Senarai Negeri pula, terdapat cuma
sembilan (9) perkara antara lainnya ialah hal-hal berkaitan jentera Kerajaan
Negeri, Kerajaan Tempatan, tanah, perhutanan dan pertanian, serta,
undang-undang Islam, agama dan adat Melayu.
Oleh sebab itulah maka hasil yang
diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan juga besar, termasuklah cukai-cukai yang
dikutip oleh misalnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) daripada
perdagangan, perniagaan dan industri di seluruh negara.
Dan di Pahang sahaja, antara tahun 2006 dan
2013, jumlah yang dikutipi oleh JKDM tersebut ialah kira-kira RM744 juta! Dan
ini belum lagi apa yang diperolehinya dari negeri-negeri lain.
Menerusi kutipan hasil-hasil inilah,
Kerajaan Persekutuan dapat mengemukakan Belanjawan Negaranya, yang menyediakan
peruntukan-peruntukan tertentu kepada setiap Kementerian di bawahnya. Di bawah Belanjawan Negara 2019 misalnya,
Kementerian Pendidikan ialah penerima peruntukan terbesar – kira-kira RM60.2
billion yang dengan itulah, menjadi tanggungjawab Kementerian ini pula untuk
menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan ke seluruh negara termasuk Pahang –
negeri yang diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dalam hal ini, tidak menghairankan juga
tatkala Pulau Pinang dilanda banjir dan ribut semasa Encik Lim masih sebagai
Ketua Menteri, beliau telah membuat panggilan awal pagi kepada Timbalan Perdana
Menteri ketika itu, merayu Kerajaan Persekutuan pimpinan BN membantu Kerajaan
Negeri pimpinan DAP!
Sebagai Kerajaan Persekutuan BN yang tahu
tanggungjawabnya ke atas sesebuah negeri, sudah tentulah bantuan segera
dihantar bagi membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang tersebut.
Maka kini, sebagaimana Kerajaan Persekutuan
BN terdahulu yang memahami akan tanggungjawabnya ke atas negeri-negeri;
begitulah juga yang diharapkan daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan
Harapan (PH) sekarang.
Bukannya dengan membuat pelbagai tohmahan
dan sindiran, semata-mata untuk menghina negeri-negeri yang bukan se-Pakatan
Harapan dengannya, demi meraih undi untuk memastikan kemenangan calonnya pada
Pilihanraya Kecil (PRK) P078 Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor