Pages

Saturday, December 1, 2018

ICERD BUKAN PERKARA BARU, BN PERNAH KAJI DAN TOLAK RATIFIKASINYA







Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad menekankan bahawa penerangan berkenaan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) perlu dibuat untuk memastikan bahawa masyarakat faham mengenainya.

Katanya, ICERD bukanlah perkara baru kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah melakukan kajian dan mengambil keputusan untuk tidak meratifikannya.

“Pada zaman BN, kita menolaknya kerana ia bukan satu kepentingan kepada masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Program Wanita dan Isu Semasa (WISE) yang memberi penerangan tentang ICERD di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, Wanita UMNO merasakan perlunya penekanan tentang isu-isu semasa difahami oleh kepimpinan Wanita bagi memberi penerangan kepada orang ramai di seluruh negara.

“Ini supaya kita tidak ketinggalan dalam menangani isu-isu semasa dan dapat memberi penerangan kepada masyarakat tentang apa yang sebenarnya terjadi.

“ICERD bukanlah satu keutamaan bagi kita sebaliknya ia adalah antara janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Kita perlu merasa bimbang sekiranya ICERD diratifikasikan, khususnya Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan hak-hak orang Melayu, Bumiputera dan kepentingan kita yang akan secara langsung terkesan dan kekhuatiran itu perlu kita zahirkan.”

“Ini kerana Perlembagaan kita tidak kebal dari sebarang kebocoran, ada pihak yang lebih sanggup mengutamakan kepentingan peribadi dari mempertahankan Perlembagaan,” tegasnya.

Selaras dengan itu, katanya Wanita merasakan perlu untuk mendapat penerangan yang lebih lanjut dan mengadakan perbincangan serta maklum balas dari mereka yang arif berkaitan ICERD.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pergerakan Wanita UMNO di seluruh negara yang telah membuat laporan polis berkenaan ICERD dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

“Isu ini dipanaskan lagi oleh menteri… entah Menteri Perpaduan atau menteri ‘perpecahan’ yang merupakan pengerusi HINDRAF, sehingga sanggup memburuk-burukkan negara,” katanya.

Beliau turut mengajak anggota Wanita untuk turut serta turun beramai-ramai menjayakan Himpunan Ummah pada 8 Dis depan.

Menerus Program WISE ini, perbincangan mendalam berkaitan ICERD akan mengetengahkan panel melibatkan Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Pengarah Institut Kajian Raja, Kepimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Datuk Dr Ramlah Adam bersama dengan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mohd Yazid Zul Kepli dengan moderatornya Datuk Dr Mashitah Ibrahim.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor