Pages

Saturday, December 22, 2018

GUAN ENG, SERONOK BERBOHONG?






Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyelar tindakan Menteri Kewangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng yang berterusan mengamalkan sikap pembohong.



Terbaharu ujarnya, Setiausaha Agung Dap itu berbohong dengan mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melanggar undang-undang kerana kutipan dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dibayar ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dan bukan ke dalam akaun wang GST.

“Akauntan Negara pada masa itu memberi pendapat bahawa ianya lebih baik dari segi kawalan aliran wang kerajaan bahawa wang dari kutipan GST dibayar ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.


“Ini juga kaedah yang digunakan oleh kerajaan Singapura dan lain-lain kerajaan di dunia yang mengamalkan sistem GST.

“Jika Guan Eng benar-benar membaca Akta GST, ini dibenarkan dan tidak melanggar apa-apa undang-undang negara,” bidas Najib yang juga bekas Menteri Kewangan dalam entri di Facebooknya.

Tegas Najib, Guan Eng juga berbohong bahawa kerajaan hanya ada RM450 juta dan tidak cukup untuk membayar balik tuntutan bayaran balik input GST yang diluluskan, sebagaimana hantaran di dalam media sosialnya itu semalam.

Hakikatnya menurut Najib jumlah Akaun Hasil Disatukan juga termasuk wang tunai yang diletak dalam bentuk simpanan tetap jangka pendek (short-term FD) dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Wang ini boleh dikeluarkan serta-merta untuk kegunaan kerajaan pada bila-bila masa.



“Jumlah wang tunai ini naik dari RM7 bilion pada akhir bulan Disember 2017 kepada RM10 bilion pada akhir bulan April 2018 (https://bit.ly/2rHUqXs) – bermakna wang tunai untuk akhir bulan April 2018 bukan hanya RM450 juta sahaja,” katanya.

Justeru ujarnya, rakyat masih bernasib baik kerana data-data ini masih dilaporkan oleh BNM dalam laman rasmimereka.

“Jika tidak, kita semua juga ditipu lagi.

“Saya telah menjawab pembohongan Guan Eng ini beberapa bulan dahulu tetapi dia tidak menjawab,” tegas Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menimbulkan isu bayaran balik wang input GST yang juga dibohongi oleh Guan Eng terutama tuduhan kerajaan BN merompak RM19 bilion wang GST.

“Walaupun Guan Eng secara terang menuduh kerajaan BN merompak RM19 bilion wang GST pada bulan ‘August’ dan laporan polis serta siasatan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) telah dijalankan, kita nampak secara jelas tuduhan yang amat berat berjumlah RM19 bilion yang dibuat ini seperti sudah tenggelam atau sengaja tidak dibangkitkan lagi.

“Apabila ditanya di Dewan Rakyat, Guan Eng pernah menjawab bahawa semua tuntutan RM19.5 bilion ini telah disahkan untuk dibayar. Tetapi Laporan Audit Negara rasmi membuktikan jawapan Guan Eng ini ialah satu lagi pembohongan.

“Guan Eng sudah dua kali mengelirukan Dewan Rakyat dan patut dihukum,” bidasnya lagi.

Menurut Najib, laporan Audit Negara di bawah kerajaan PH jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar dari tuntutan wang input GST berjumlah RM19.5 bilion ini mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan untuk menipu kastam.

“Oleh itu, saya pelik mengapa Guan Eng sebagai seorang Menteri Kewangan, tergesa-gesa untuk menjarah wang Petronas berpuluh-puluh bilion tahun depan dengan alasan mahu membayar balik semua tuntutan-tuntutan berjumlah RM19.5 bilion ini.

“Akibatnya, prospek penarafan kredit Petronas diturunkan menjadi negatif.

“Mengapa perlu bayar balik wang input GST kepada ahli-ahli peniaga jika tuntutan mereka tidak sah? Pada masa yang sama, bantuan kepada rakyat yang memerlukan dipotong atau dimansuhkan,” bidasnya lagi.

Justeru ujar Najib, sehingga kini, Guan Eng juga tidak mampu menjawab semua persoalan tersebut.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor