Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat lebih empat jam malam semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati dua laluan di Kampung Paya Garok dan Felda Kota Gelanggi 1, di sini dinaiki air setinggi hampir satu meter.
Seorang penduduk di Kampung Paya Garok, Mohd. Ramli Jaafar, 50, berkata, air mula naik awal pagi kelmarin.
“Laluan masuk ke Kampung Paya Garok tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan kerana air melimpah ke atas jalan raya.
“Kampung ini sering dilanda banjir apabila air Sungai Jerantut melimpah setiap kali hujan lebat dalam tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui di sini
Menurut Mohd. Ramli, setakat ini, tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan kerana belum ada rumah yang ditenggelami air.
“Jika tiada lagi hujan, maka air akan surut dan jalan ini boleh dilalui semula, namun sekiranya hujan lebat, air akan semakin naik,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli di Kampung Paya Lintah, Eng Sulung, 30, memberitahu, ahli keluarganya tidak dapat keluar ke bandar kerana jalan dinaiki air.
“Saya keluar daripada rumah sejak semalam dan tidak dapat pulang kerana jalan raya dipenuhi air,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor