Pages

Tuesday, September 4, 2018

PEGUAM NEGARA PERLU JELASKAN BAGAIMANA KES RASUAH GUAN ENG OLEH DIGUGURKAN?






Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Peguam Negara Tommy Thomas perlu menjelaskan bagaimana kes rasuah membabitkan Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh digugurkan kerana rakyat memerlukan penjelasan apatah lagi SPRM sendiri terkejut dengan keputusan tersebut.

Jelas beliau yang juga merupakan Ketua Unit Undang-Undang UMNO, Peguam Negara tidak seharusnya bersembunyi di sebalik kuasa yang diperuntukkan di bawah 145(3) atau beliau harus letak jawatan dengan segera tanpa menjejaskan lagi kredibiliti Jabatan Peguam Negara.

“Sememangnya kita tidak mempertikaikan kedudukan dan kuasa seseorang Peguam Negara untuk berperanan secara adil dan saksama seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan di mana kuasa budi bicara Peguam Negara adalah mutlak dan tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah.

“Pada masa yang sama, kuasa budi bicara yang diperuntukkan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan prinsip undang-undang dan tidak menyebelahi mana-mana pihak selain menimbang kepentingan awam (public interest).

“Tetapi seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini terdapat satu tren membimbangkan di mana terdapat pengguguran kes-kes pendakwaan yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang berterusan dan hari ini terbukti bila satu lagi kes yang digugurkan oleh Peguam Negara iaitu terhadap kes YB Lim Guan Eng sekaligus menyebabkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara itu sendiri dipersoalkan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Lebih dipertikaikan tegasnya lagi adalah kerana Peguam Negara sendiri pernah mewakili Guan Eng di dalam kes ini sebelum menjadi Peguam Negara.

“Peguam Negara perlu menjelaskan perkara ini kerana persepsi buruk yang ditimbulkan ini adalah sesuatu yang bahaya dan mengancam doktrin pengasingan kuasa di Malaysia dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem pentadbiran negara.

“Beliau juga tidak wajar sewenang-wenangnya menyatakan tidak mencampuri kes ini dan melepaskan tanggungjawab tersebut kepada Peguam Cara Negara,” jelas beliau seterusnya.

Untuk rekod, pada 26 Mac 2018, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud dalam ucapan pembukaan dalam Mahkamah Tinggi Malaya di George Town telah menyatakan bahawa pihaknya akan membuktikan bahawa Guan Eng sebagai penjawat awam telah membeli rumah daripada Phang Li Koon dengan harga yang diketahuinya di bawah nilai harga pasaran, dan semasa pembelian ini dibuat, Guan Eng telah membenarkan permohonan syarikat Li Koon untuk mengubah status tanah pertanian kepada tanah perumahan.

Justeru soal Azalina bagaimana sekarang Jabatan Peguam Negara boleh menyatakan bahawa tiada apa-apa kes terhadap kedua-dua mereka dan menarik-balik pertuduhan tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal langsung dan mengambarkan Peguam Negara lantikan oleh Kerajaan PH sudah mula menyalahgunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan oleh undang-undang dan memberikan ‘preferential treatments’ dan ‘favouritism’ kepada pemimpin pemimpin PH.

“Saya telah membangkitkan perkara ini beberapa kali di Parlimen sebelum ini supaya Kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya diasingkan untuk mengelakkan campurtangan mana-mana pihak yang mana perkara sebegini akan dikhuatiri terus berlaku dan menjadi lebih parah di masa hadapan.

“Hari ini persepsi terhadap Badan perundangan di negara ini tercalar dan Kerajaan PH harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini. Prinsip ‘rule of law’ semakin hari semakin terhakis di negara ini.

“Saya juga menggesa Majlis Peguam Malaysia membuat satu mesyuarat tergempar mengenai perkara ini dan menyatakan pendirian mereka dalam perkara ini,” tegas beliau.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor