Wanita UMNO Selangor mendesak Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan isu berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dengan segera dan tegas supaya kegusaran rakyat dapat diredakan terutamanya di kalangan keluarga Islam yang menolak perlakuan LGBT secara terbuka.
Ketuanya, Datuk Rosni Sohar, merasakan kerajaan telah tersasar dalam fokus mereka yang kononnya untuk menyelamatkan Malaysia, sebaliknya mereka telah kabur dalam menuruti tekanan pihak tertentu dengan pendekatan dan keputusan populis demi meredakan kemarahan dan kegelisahan rakyat terhadap ketidakmampuan mereka menunaikan janji-janji pilihan raya mereka.
“Wanita UMNO Selangor mengikuti dengan teliti perkembangan isu LGBT yang dilaporkan sejak kebelakangan ini. Sebagai sebuah pergerakan yang rapat dengan rakyat, Wanita UMNO Selangor merasakan perhatian yang berlebihan telah diberikan terhadap isu LGBT sejak akhir-akhir ini.
“Sepanjang kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan, keharmonian dan keperluan setiap lapisan rakyat telah dijaga dan diberikan sokongan yang seharusnya. Tidak pernah timbul isu penindasan mahupun diskriminasi kepada mana-mana pihak dalam sama-sama menjalani kehidupan seharian di dalam negara ini.
“Mengapa kini, di bawah pemerintahan PH, timbul pelbagai pertikaian dan percanggahan berkaitan golongan LGBT?, soalnya, dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya Wanita UMNO Selangor menolak cadangan-cadangan dari beberapa pihak terutamanya pihak kerajaan untuk mewujudkan ekosistem dan kemudahan yang boleh menggalakkan golongan LGBT ini mempamer gaya hidup LGBT secara terbuka.
“Ini bertentangan dengan kehendak agama Islam yang menjadi agama persekutuan di negara ini.
“Kerajaan mesti lebih sensitif dalam menyediakan ekosistem kemudahan untuk semua lapisan masyarakat bukan hanya kepada satu golongan tertentu sahaja,” ujarnya.
Tambah Rosni lagi, Wanita UMNO Selangor berpendirian tegas menyokong kenyataan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad, bahawa golongan LGBT mesti dibantu untuk menyelesaikan isu kekeliruan identiti yang mereka hadapi melalui pendekatan spritual dan kaedah perubatan.
“Pada masa yang sama, sokongan dari semua pihak adalah penting untuk memastikan usaha golongan LGBT ini untuk kembali kepada fitrah berjaya dilakukan dan dipermudahkan.”
Sebagai tanda solidariti, Wanita UMNO Selangor juga menyatakan sokongan terhadap Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang menyuarakan pendirian dan pendapat beliau berkenaan status layanan tanpa diskriminasi terhadap golongan LGBT, katanya.
“Kami meminta supaya Jabatan Perkhidmatan Awam tidak menghukum dengan mengenakan tindakan tatatertib ke atas tindakan beliau kerana negara ini mengamalkan kebebasan bersuara apatah lagi tindakan Dr. Ilyani tidak melanggar mana-mana undang-undang,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor