Pages

Wednesday, April 4, 2018

ZALEHA, RENDANG AYAM PENYATU RAKYAT MELAYSIA: ANIFAH



Zaleha, rendang ayam penyatu rakyat Malaysia: Anifah



Putrajaya – Isu peserta Malaysia dalam rancangan MasterChef UK 2018, Zaleha Kadir Olpin dan rendang ayamnya, menjadi penyatu rakyat Malaysia apabila rata-rata rakyat negara ini menunjukkan sokongan di laman sosial bagi mempertahankan hidangan yang disediakan wanita itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata dalam suasana panas menuju pilihan raya umum, ramai mudah terlupa tentang titik persamaan yang menyatukan semua rakyat Malaysia.

“Kita bergaduh dan bertegang urat sehingga lupa budi bahasa. Namun adakalanya, sesuatu perkara yang tidak dijangka muncul dan rakyat Malaysia bersatu hati dalam sesuatu perkara.

"Kita biasa mendengar bahawa sukan dan makanan mampu menyatukan rakyat Malaysia. Ternyata kata-kata ini terbukti. Zaleha dan rendang ayamnya secara tidak langsung telah menjadi penyatu rakyat Malaysia, tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang,” kata Anifah dalam catatan Facebook beliau.

Mengucapkan syabas kepada Zaleha, Anifah berkata berkata : “Saya harap dapat bertemu anda suatu hari nanti. Anda telah berjaya menerusi cara yang tidak boleh dilakukan kebanyakan ahli politik, iaitu, menyatupadukan rakyat Malaysia di kala sedang berlakunya perpecahan.”

Zaleha, 48, menghidangkan nasi lemak ayam rendang dalam pusingan knockout pertandingan MasterChef UK 2018 itu. Juri program berkenaan mengkritik hidangan bekas akauntan itu yang kini menetap di Bristol, dengan mendakwa ayam rendangnya tidak garing.

Dalam catatan Facebook beliau, Anifah berkata terasa geli hati apabila orang asing cuba untuk mengajar rakyat Malaysia tentang makanan tradisional mereka sendiri.

"Terdetik dalam hati, tertanya sekiranya ini merupakan satu bentuk 'whitesplaining' yang biasa dibaca di media sosial,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor