Pages

Tuesday, April 3, 2018

[KUANTAN] POLIS TAHAN WANITA PERDAYA 71 MANGSA



Mohd Wazir Mohd Yusof




Polis Pahang berjaya menahan seorang wanita dipercayai memperdaya 71 mangsa melalui tawaran pembelian kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang yang tidak wujud sehingga membabitkan kerugian RM84,000, Jun tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Tas Ria, di sini, kira-kira jam 11 malam tadi.

“Suspek sejak awal lagi telah menawarkan mangsa menguruskan proses rumah PR1MA Pahang dengan wang pendahuluan RM1,200 tanpa memerlukan sebarang dokumen.

“Mangsa berusia 41 tahun itu berkenalan dengan suspek yang dikenali sebagai Jenny, Jun tahun lalu itu dikehendaki mencari sehingga 70 individu lain yang turut berminat untuk membeli rumah PR1MA yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah memperdayakan mangsa dalam urusan pemilikan rumah PR1Ma sehingga mendorongnya menyerahkan wang dan mengalami kerugian.

Dalam pada itu, kata Mohd Wazir, mangsa telah menyerahkan kesemua wang yang dikutip daripada 70 orang mangsa yang lain kepada Jenny.

“Anggaran keseluruhan wang pendahuluan yang dikutip kira-kira RM84,000. Selepas mangsa menyerahkan wang berkenaan pada Januari lalu, mangsa terus tidak dapat menghubungi Jenny.

“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan dan berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebelum polis berjaya menahan suspek,” katanya.

Sementara itu, katanya, suspek kini ditahan di IPD Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor