Pages

Sunday, April 15, 2018

RM42 JUTA UNTUK WARGA OKU DI PAHANG



RM42 juta untuk warga OKU di Pahang




Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM42.4 juta bagi membantu seramai 10,473 orang kurang upaya (OKU) di negeri ini sepanjang tahun ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dato' Sri Shafik Fauzan Sharif berkata, peruntukan sejumlah itu merupakan sumbangan daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi membantu golongan berkenaan.

Menurutnya, peruntukan itu membabitkan tiga kategori penerima iaitu OKU yang bekerja, bantuan pesakit terlantar dan OKU tidak bekerja.

“Bagi tahun ini, kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan berjumlah RM94.1 juta, sementara kerajaan negeri pula memperuntukkan sebanyak RM15.1 juta bagi menyalurkan pelbagai bantuan kepada penerima yang layak.

“Ini termasuk golongan OKU yang sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dalam membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya ketika berucap sebagai mewakili Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob bagi merasmikan Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang Bersama Warga Kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO Berasaskan Kebajikan di Auditorium Darul Makmur, di sini, semalam.

Sementara itu, Shafik Fauzan meminta rakyat tahu bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan yang memerlukan.

Sebaliknya, katanya, pihak kerajaan sentiasa membantu menerusi pelbagai peruntukan yang telah diluluskan sama ada di peringkat pusat ataupun negeri.

“Jadi saya amat berharap agar rakyat terus memilih kerajaan yang memerintah dan berilah mandat kepada kerajaan sedia ada,” katanya.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin serta Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin.

Pada majlis itu, sebanyak 51 pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) menerima geran tahunan berjumlah RM3.2 juta.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor