Segamat - Barisan Nasional (BN) mesti memerangi penipuan yang dicanang pembangkang habis-habisan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) demi masa depan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan BN sudah membuktikan kemampuan sebagai kerajaan yang mampu membela rakyat berbanding pembangkang yang pandai menipu dan hanya 'menjual' janji.
"Kalau hendak politik, politiklah (pembangkang). Kritik tidak mengapa tetapi jangan menipu rakyat.
"Sebab itu kita mesti perang mereka (pembangkang) habis-habisan. Takkan lah kita hendak termakan dengan penipuan mereka. Kita mesti berdiri dengan sesuatu yang boleh mengubah masa depan kita iaitu kerajaan BN," kata Najib, yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap menghadiri majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Bukit Mambai di Bukit Mambai, Labis, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Anggota Parlimen Labis merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong serta Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang Mohd Azahar Ibrahim.
Najib berkata antara penipuan pembangkang termasuk dilakukan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang mendakwa kononnya kerajaan memberi kerakyatan kepada rakyat China yang membeli hartanah di Forest City dekat Gelang Patah dan kerajaan negeri Kedah pula sudah menjual tiga pulau kepada China.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya (pemberian kerakyatan), tidak benar. Tolong tunjuk bukti...tidak ada. Mereka (pembangkang) tidak boleh tunjuk bukti," katanya.
Menurut Najib, disebabkan banyak berita palsu yang dicanang pembangkang, maka, pembangkang sendiri takut terhadap Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pembinaan RMMJ membuktikan kerajaan BN sentiasa mengambil kira keperluan rakyat Johor selain projek mega seperti Rapid Pengerang, Keretapi Berkelajuan Tinggi Singapura-Kuala Lumpur dan terkini, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.
Beliau berkata pembinaan rumah mampu milik di Selangor misalnya, amat kecil bilangannya berbanding Johor yang menyasarkan 71,000 RMMJ menjelang 2020.
"Apa hendak dimegah di Selangor? Pemimpin dapat undi, rakyat dapat baldi. Di Pulau Pinang, mereka (kerajaan negeri) buat projek terowong tetapi tidak nampak cahaya di hujung terowong," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut meluluskan RM5 juta bagi pembinaan sebuah stadium mini di Labis seperti yang dikemukakan Chua manakala akan mengkaji keperluan bagi pembinaan sebuah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Labis.
Beliau turut mengizinkan BN Johor memasukkan rancangan untuk menambah dua lagi lorong di Lebuh Raya Utara Selatan menjadikan kesemuanya enam lorong, di dalam manifesto BN Johor.
"Saya mengambil kira apa yang disebut Mohamed Khaled. Lebuh Raya Utara Selatan terutama bahagian Ayer Hitam ke Johor Bahru memang terlalu padat pada hari minggu.
"Saya izinkan dimasukkan dalam manifesto. Kalau menang besar, saya tidak mahu sipi-sipi. Insya Allah kita akan tambah enam lorong," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor