Pages

Thursday, April 5, 2018

[KUANTAN] PROJEK MEGA BUKAN PEMBAZIRAN



Projek mega bukan pembaziran




Pelaksanaan pelbagai projek mega termasuk di negeri ini seperti projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) bukan projek membazir yang merugikan negara dan rakyat.

Sebaliknya pelaburan itu sebenarnya akan menguntungkan rakyat dan merancakkan lagi pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob berkata, pelaksanaan pelbagai projek mega bukan perkara baharu, bahkan sudah dilaksanakan perdana menteri terdahulu termasuk zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, beliau melihat keputusan kerajaan dalam melaksanakan projek-projek berskala besar untuk faedah rakyat.

“Melalui projek-projek ini, akan membuka peluang pekerjaan dan ECRL misalnya, apabila siap kelak, ia membantu melonjakkan pembangunan di kawasan jajarannya.

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum menerima atau membuat pelaburan, apatah lagi pelaburan yang besar seperti projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan kos kira-kira RM50 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kompleks Logistik dan Perumahan PDRM Alor Akar, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman dan Timbalannya, Datuk Jamaluddin Kudin.

Majlis dihadiri kira-kira 1,300 pegawai dan anggota polis Pahang.

Adnan berkata, tidak ada sebab untuk rakyat bimbang dengan dakwaan kononnya kedaulatan negara terancam dengan pelaksanaan projek itu.

“Sepatutnya tidak timbul soal kedaulatan (negara) terancam apabila kerajaan menjalinkan kerjasama dengan negara China dalam projek ECRL ini. Biasalah, apabila kita melabur atau menerima pelaburan, kenalah ada timbal balas.

“Negara kita dapat (pelaburan) dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat dan mereka (China) juga mendapat faedah daripada pelaburan yang dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, penjawat awam sebagai teras jentera kerajaan perlu sentiasa menyokong kerajaan dan bersyukur dengan segala yang dikecapi hari ini.

Katanya, kerajaan menyediakan pelbagai faedah kepada penjawat awam selain gaji yang diterima untuk menyara keluarga, peluang kenaikan pangkat dan sebagainya


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor