Perkhidmatan Unit bergerak semakan daftar pemilih Pemuda Umno Bahagian Maran memudahkan bakal pengundi membuat semakan nama dan tempat mengundi pada PRU14 ini.
Ketuanya, Mohd Saipul Annuar Mokhta berkata, unit tersebut akan beroperasi di balai raya, balai rakyat serta pekan sehari mulai minggu depan.
Menurutnya, kerjasama akan dilakukan dengan Puteri dan NGO supaya orang ramai boleh membuat semakan pantas tempat sebenar mereka mengundi.
“Pemuda Umno bimbang, kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab memindah nama pemilih ke kawasan lain tanpa pengetahuan pengundi, akibatnya nama itu hilang daripada tempat mengundi asal.
“Jika ini berlaku dan tidak di atasi segera akan menyebabkan pengundi kelam kabut dan bila kesuntukan masa akhirnya tidak boleh mengundi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurutnya, semakan pendaftaran nama dan tempat mengundi itu sangat penting supaya sebarang masalah awal boleh diatasi.
Di Maran kira kira 63,000 pemilih berdaftar membabitkan tiga Dun, Luit, Kuala Sentul dan Chenor serta satu Parlimen Maran.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Saipul berkata, seramai 1,000 anggota gerak gempur pemuda yang sebahagian daripadanya bermotosikal akan turun padang mendekati pengundi muda dan pengundi baharu.
“Kita akan memberikan pelbagai penerangan serta kaedah terbaik supaya memihak kepada BN sekali gus mengundi BN pada pilihan raya ini.
“Kita yakin anggota gerak gempur yang mendapat pelbagai latihan dan ilmu berkempen boleh berjaya dalam misi menarik golongan muda untuk berpihak mengundi BN,” katanya.
Selain itu anggota terbabit katanya akan menjalankan kerja-kerja logistik serta membantu pasukan polis, Rela dan lain lain pasukan menjaga keselamatan semasa berkempen bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor