Pages

Thursday, March 8, 2018

PELANCONG POLAND PUJI KECEKAPAN POLIS TIOMAN


Pelancong Poland puji kecekapan polis Tioman




Kepantasan pasukan polis di Pulau Tioman memberkas suspek kes kecurian wang seorang pelancong warga Poland mendapat pujian.

Melalui entri Facebook terbabit, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Strycharczyk Katarzyna, 32, menzahirkan penghargaan atas kecekapan pasukan polis yang diketuai Inspektor Hazmi Zakaria.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor berkata, wanita warga Poland itu telah datang ke Balai Polis Tioman sekitar jam 11.30 pagi membuat laporan mengenai kehilangan wang tunai kira-kira RM1,700 di bilik sewanya di sebuah chalet di Kampung Air Batang.

Menurutnya, pengadu mengesyaki seorang lelaki memakai baju berwarna hijau telah memasuki biliknya dan mengambil wang berkenaan.

"Polis segera ke lokasi kejadian dan menjumpai suspek seterusnya membawanya ke balai.

"Hasil soal siasat suspek telah mengaku mengambil wang tersebut namun mengatakan wang itu telah terjatuh di hadapan bilik ketika pengadu keluar dari bilik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Azli berkata, selepas wang berkenaan ditemukan, pengadu telah dipanggil ke balai dan Ketua Balai memberi penerangan berkaitan perjalanan siasatan kes.

Bagaimanapun, katanya, pengadu hanya ingin mendapatkan wangnya semula dan tidak berhajat meneruskan laporan memandangkan masa yang terhad untuk tinggal di Malaysia.

"Pengadu telah membuat laporan bagi menarik balik laporan sebelumnya," katanya.

Azli turut memuji kepantasan pasukan polis di Pulau Tioman yang diketuai Inspektor Hazmi Zakaria telah banyak kali mendapat pujian dan sanjungan masyarakat setempat.

Menurutnya, pendekatan yang diambil iaitu sentiasa mendampingi masyarakat menyebabkan maklumat mudah diperoleh dan mudah disalurkan.

"Sebagai Ketua Polis Daerah, saya amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan. Semoga ia menjadi pemangkin untuk menjadikan Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan yang selamat," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor