Sejumlah RM4 juta diperuntukkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi pelaksanaan projek jambatan konkrit baharu Kampung Kuala Kechau tahun ini.
Ahli Parlimen Lipis, Dato' Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan itu sudah diluluskan dan kerja mereka bentuk jambatan sedang dijalankan.
"Tawaran kontrak pula akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian pada 15 Mac lalu mengenai jambatan gantung yang mengalami kerosakan serius apabila sebahagian besi penghadang hilang manakala lantainya senget.
Jambatan berkenaan adalah penghubung terdekat bagi kira-kira 200 penduduk kampung khususnya warga emas untuk ke masjid yang terletak di seberang Sungai Kechau bagi menunaikam solat jemaah serta solat Jumaat.
Berikutan masalah berkenaan penduduk mengikat besi penghadang menggunakan tali bagi mengelak bahaya khususnya penunggang motosikal.
Abdul Rahman yang juga Ketua Umno Lipis berkata, Pejabat Parlimen Lipis sentiasa cakna dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk sekali gus menepis dakwaan wakil rakyat yang tidak mengambil berat terhadap jambatan itu sehingga tular di laman sosial.
Tambahnya, projek jambatan baharu itu antara infrastruktur awam yang diluluskan oleh KKLW setelah permohonan yang beliau sendiri kemukakan pada Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak Tun Razak.
Jelasnya, projek itu antara sebahagian perancangan pembangunan sosial yang dikemukan Pejabat Parlimen Lipis selepas banjir tahun 2014.
“Setelah jambatan ini siap ia boleh dilalui kereta dan reka bentuk yang dibuat lebih tinggi daripada paras air banjir besar yang melanda kampung ini.
“Selain itu, jalan dari Kampung Kuala Kechau melalui Felda Kechau juga akan dinaik taraf dalam usaha memberi keselesaan kepada penduduk kampung untuk berulang-alik ke bandar,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor