Pages

Saturday, March 24, 2018

[LIPIS] NAIK TARAF STESEN KTMB TAK LIBATKAN MONUMEN LAMA



Naik taraf stesen KTMB tak libatkan monumen lama




Pelaksanaan projek menaik taraf stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bandar Lipis tidak akan merobohkan bangunan lama di laluan itu, walaupun belum diwartakan sebagai bangunan warisan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Lipis (MDL), Mohd Hafizi Ibrahim berkata, pihaknya juga memberi jaminan bahawa pemilik projek akan memastikan kerja pembinaan pejalan kaki tidak akan menjejaskan bangunan lama stesen KTMB yang dibina sejak tahun 1926.

Menurutnya, usaha memulihara bangunan berusia 92 tahun itu akan terus diperkasakan sekali gus menjadi produk pelancongan serta warisan sejarah daerah ini.

“Berdasarkan maklum balas pemaju dan KTMB memberitahu bangunan lama keretapi ini tidak akan diroboh walaupun tidak diwarta sebagai bangunan warisan kerana ia sebahagian sejarah Kuala Lipis.

“Umum juga tahu stesen lama kereta api itu antara 14 monumen sejarah di daerah ini yang perlu dijaga dan dipulihara,”katanya selepas mesyuarat serta lawatan ke Stesen Lama KTMB bersama pemaju, wakil KTMB, wakil Jabatan Warisan Negara dan wakil MDL.

Hadir sama Setiausaha MDL, Mohd Pauzi Abu Hussaini; Jurutera Bahagian Projek KTMB, Nor Syahida Mohd Adnan; Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Mohd Shukri Mohd Isa dan Pegawai Operasi KTMB Lipis, Hasnan Kamaruddin.

Sementara itu, Mohd Hafizi yang juga Pegawai Daerah Lipis berharap pihak terbabit dapat menjaga dan memulihara bangunan itu.

“Sebelum ini operasi KTMB Kuala Lipis menggunakan bangunan bersejarah ini namun selepas bangunan baharu siap di blok lama bahagian lokomotif semua operasi serta seksyen akan berpindah.

“Jadi kita harap mereka dapat mengusahakan agar bangunan ini kekal. Selain itu kita menyambut baik jika dapat mewujudkan galeri atau muzium di bangunan lama ini,”katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor